
Tony Hernandez, 42, didapati bersalah pada Oktober 2019 atas empat pertuduhan – termasuk bersubahat untuk mengimport kokain ke Amerika Syarikat, memiliki mesingan dan membuat kenyataan palsu.
Hakim P Kevin Castel menyifatkan hukuman penjara seumur hidup untuk bekas ahli Kongres Honduras itu yang mengedar lebih 185 tan kokain ke AS, dengan ada yang berjenama parapnya “TH”, “betul-betul setimpal”.
Juan Orlando bagaimanapun menyifatkan pengalaman itu sebagai skandal dan hukuman terbabit “melampau”.
“Sungguh luar biasa keterangan palsu pembunuh diterima dan dinilai dengan cara ini,” katanya merujuk beberapa pembunuh disabit kesalahan yang menjadi saksi pendakwaan.
Pendakwa raya meminta hukuman penjara seumur hidup kerana Tony “tidak menunjukkan sebarang penyesalan” dan merupakan “individu utama dalam satu daripada konspirasi pengedaran kokain terbesar dan paling ganas di dunia”.
Pasukan pembelaan meminta hukuman minimum mandatori 40 tahun.
Tony, yang merupakan ahli Kongres Honduras dari 2014 hingga 2018, ditahan di sebuah lapangan terbang Miami pada November 2018.
Keluarganya di Honduras menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabat presiden turut menegaskan dia “tidak bersalah” pada petang Selasa dan memaklumkan rayuan akan difailkan.
Rakan subahat
Dalam perbicaraan, pendakwa raya AS berkata, Juan Orlando menjadi “rakan subahat” dalam jenayah adiknya, walaupun beliau tidak didakwa secara rasmi oleh sistem kehakiman AS.
Pendakwa raya mendakwa Juan Orlando menerima suapan berjuta dolar daripada pengedar dadah, termasuk raja dadah Mexico yang dipenjarakan, Joaquin “El Chapo” Guzman.
Juan Orlando berulang kali menafikan semua dakwaan pengedaran dadah.
Peguam yang menjadi presiden pada Januari 2014 dan kini dalam penggal kedua jawatannya, Juan Orlando melabelkan dirinya sebagai pejuang dalam memerangi dadah.
Ketika perbicaraan adiknya, kerajaan AS berhujah Juan Orlando ialah pengedar dadah berskala besar yang bekerja dengan pihak lain di Colombia, Honduras dan Mexico untuk mengimport kokain ke AS menggunakan pesawat, bot serta kapal selam dari 2004 hingga 2016.
Pendakwa raya AS mendakwa Juan Orlando meraih berjuta dolar daripada pengedaran dadah itu dan menggunakan wang terbabit untuk mempengaruhi tiga pilihan raya presiden.
Pendakwa raya berkata, Juan Orlando turut terbabit dalam sekurang-kurangnya dua pembunuhan pengedar dadah seteru pada 2011 dan 2013.
Peguam pembelaan gagal mempertikaikan kredibiliti saksi, kebanyakannya ialah bekas pengedar dadah, dengan ada di antaranya yang disabitkan kesalahan membunuh.
Pendakwa raya AS giat menyiasat bekas dan pegawai kerajaan Honduras sedia ada serta saudara mereka atas dakwaan pengedaran dadah.
Awal bulan ini, juri New York mendapati Geovanny Fuentes Ramirez, yang disyaki sekutu Juan Orlando, bersalah mengedar dadah.
Ketika perbicaraannya, pendakwa raya AS berkata, pemimpin Honduras itu membantu Fuentes menyeludup bertan-tan kokain ke AS, dakwaan yang disifatkan Juan Orlando sebagai “pembohongan ketara”.
Guzman, bekas pemimpin bersama kartel dadah Sinaloa yang digeruni di Mexico, disabitkan bersalah di New York pada Februari kerana menyeludup beratus tan kokain, heroin, methamphetamine dan ganja ke AS.