Suspek serangan di perpustakaan Vancouver didakwa

Suspek serangan di perpustakaan Vancouver didakwa

Kejadian yang menggemparkan seluruh Kanada itu berlaku di sebuah kejiranan mewah di bandar itu pada petang Sabtu.

Polis bercakap dengan seorang saksi di luar Perpustakaan Lynn Valley di Vancouver pada Sabtu. (Gambar AP)
VANCOUVER:
Seorang suspek berusia 28 tahun berdepan tuduhan membunuh pada Ahad, sehari selepas dia didakwa menikam seorang wanita sampai mati dan mencederakan enam yang lain di sebuah perpustakaan di Vancouver, Kanada.

Yannick Bandaogo, yang ditahan di tempat kejadian, dituduh melakukan serangan di perpustakaan Lynn Valley yang mengorbankan seorang wanita berusia lewat 20-an.

“Latar belakangnya, sejarah di BC (British Columbia) dan hubungannya dengan mangsa, jika ada, masih disiasat,” kata polis dalam kenyataan.

Kejadian yang menggemparkan seluruh Kanada itu berlaku di sebuah kejiranan mewah di bandar itu pada petang Sabtu.

Rangkaian CTV menyiarkan video yang memaparkan penangkapan suspek, yang kelihatan telah menikam kakinya sendiri sebelum rebah dan ditahan beberapa pegawai polis.

“Kami berkongsi kesedihan dan kemarahan masyarakat,” kata Ghalib Bhayani dari pasukan polis Vancouver Utara.

“Perpustakaan Lynn Valley adalah tempat yang damai, di mana komuniti kita datang untuk belajar,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.