10 cedera, pengebom disyaki letupkan diri di gereja Indonesia

10 cedera, pengebom disyaki letupkan diri di gereja Indonesia

Jurucakap polis Sulawesi Selatan berkata, tidak jelas sama ada serpihan anggota badan di tempat kejadian hanya daripada pengebom berani mati itu.

Anggota polis mengawal di luar gereja selepas serangan pengebom berani mati di Makassar hari ini. (Gambar AP)
JAKARTA:
Beberapa orang cedera apabila seorang pengebom berani mati disyaki meletupkan dirinya di luar sebuah gereja Katolik di bandar Makassar, Indonesia hari ini pada hari pertama minggu suci sebelum Easter, kata polis dan seorang saksi.

Jurucakap polis Sulawesi Selatan, E Zulpan berkata, penganut Kristian berada di dalam gereja itu ketika letupan berlaku, tetapi tidak jelas sama ada serpihan anggota badan di tempat kejadian itu hanya daripada penyerang terbabit.

Paderi di gereja itu, Wilhemus Tulak, memberitahu media Indonesia yang pengebom disyaki itu cuba memasuki kawasan gereja itu menggunakan motosikal, tetapi dihalang seorang pengawal keselamatan.

Katanya, 10 orang cedera, dengan ada dalam kalangan mereka yang parah.

Polis tidak kata siapa yang mungkin bertanggungjawab terhadap serangan itu dan tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Polis menyalahkan kumpulan pelampau Indonesia, Jamaah Ansharut Daulah (JAD) atas serangan berani mati di sebuah gereja dan sebuah pos kawalan polis di Surabaya yang mengorbankan lebih 30 orang pada 2018.

Gomar Gultom, ketua Majlis Gereja Indonesia, menyifatkan serangan itu “insiden kejam” ketika penganut Kristian menyambut “Palm Sunday”, serta menggesa orang ramai bertenang serta yakin kepada pihak berkuasa.

Serangan militan terburuk di Indonesia berlaku di Bali pada 2002, dengan pengebom membunuh 202 orang, kebanyakannya pelancong asing.

Walaupun pasukan keselamatan Indonesia mencapai beberapa kejayaan besar dalam menangani pergerakan militan sebelum ini, tetapi keganasan militan muncul semula baru-baru ini.

Datuk Bandar Makassar, Danny Pomanto berkata, serangan pada Ahad boleh menyebabkan lebih banyak kecederaan jika ia berlaku di pintu pagar utama dan bukannya pintu tepi gereja itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.