
Sumber berkata, Perbendaharaan AS mungkin menyenarai hitamkan Myanmar Economic Corporation (MEC) dan Myanmar Economic Holdings Ltd (MEHL) serta membekukan semua aset mereka di AS seawal Khamis.
Junta tentera merampas kuasa pada hari pertama Parlimen bersidang bulan lalu, dengan menahan pemimpin dipilih rakyat, termasuk pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, yang partinya menang pilihan raya pada November lalu.
Junta mendakwa berlaku penipuan pengundi, tetapi pemerhati berkata, tiada penyelewengan ketara.
Rampasan kuasa itu mencetuskan bantahan meluas dan pasukan keselamatan bertindak menggunakan kekerasan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 275 orang terbunuh.
Presiden AS, Joe Biden mengeluarkan arahan eksekutif pada 11 Feb lalu yang membuka laluan untuk sekatan baru dilaksanakan ke atas tentera Myanmar dan kepentingan mereka.
Arahan itu menyebabkan kira-kira USD1 bilion rizab bank pusat Myanmar yang disimpan di Bank Rizab Persekutuan New York dibekukan, yang junta cuba keluarkan selepas rampasan kuasa itu.
AS, Britain, Kesatuan Eropah dan Kanada sudah melaksanakan beberapa sekatan ke atas jeneral tertinggi Myanmar, termasuk Ketua Panglima, Min Aung Hlaing dan anaknya yang sudah dewasa.
Selain tiga syarikat batu permata yang dikenakan sekatan oleh AS bulan lalu dan Jabatan Perdagangan AS menyenarai hitamkan pengeksportan ke atas konglomerat itu, kepentingan perniagaan tentera bagaimanapun tidak dikenakan sekatan sehingga kini.
Tentera menguasai sejumlah besar ekonomi Myanmar melalui syarikat induk dan anak syarikat mereka, dengan kepentingannya merangkumi bir, rokok, telekomunikasi, tayar, perlombongan serta hartanah.
Aktivis menggesa sekatan untuk mengurangkan pendapatan tentera serta menyasarkan projek gas dan minyak yang merupakan sumber pendapatan utama Myanmar.