
Walau sedang berdepan pertikaian terbuka dengan Istana Buckingham, Harry dan isteri warga Amerika Syarikat Meghan Markle, yang juga bekas pelakon televisyen berdarah campuran, kini menetap di California setelah mengundurkan diri dari tugas istana.
Dalam satu wawancara panas bersama Oprah Winfrey baru-baru ini ini, mereka mendakwa seorang kerabat diraja yang tidak didedahkan ada bertanya mengenai betapa gelapnya warna kulit bayi mereka. Monarki terus terpalit krisis terbesarnya sejak kematian ibu Harry, puteri Diana, pada tahun 1997.
Menyentuh peranan barunya dengan BetterUp, Duke of Sussex akan memperjuangkan kepentingan memaksimumkan potensi manusia di seluruh dunia, menurut ketua eksekutif Alexi Robichaux.
“Saya yakin dengan memfokuskan perhatian dan mengutamakan kecergasan mental, kita akan membuka potensi dan peluang yang tidak pernah kita tahu ada di dalam diri kita,” kata Putera Harry dalam catatan blog BetterUp.
Platform BetterUp menggabungkan sains tingkah laku, kecerdasan buatan, dan bimbingan manusia untuk mengoptimumkan pertumbuhan peribadi dan pengembangan profesional, menurut syarikat itu, yang bulan lalu mengumumkan berjaya mengumpulkan dana AS$125 juta dengan penilaian AS$1.73 bilion.
Menerusi peranan terbaharunya, putera yang turut menggunakan platform BetterUp sebelum ini, tidak akan membabitkan hal ehwal kakitangan atau laporan langsung, menurut The Wall Street Journal.
Ditubuhkan pada tahun 2013, BetterUp telah berkembang dan kini mempunyai lebih daripada 270 pekerja dan rangkaian sekitar 2,000 pelatih.
Senarai pelanggannya termasuk Nasa, Chevron, Mars, Genentech, Snap, dan Warner Media.
Sejak mengundurkan diri mereka dari tugas istana, Harry dan Meghan telah menandatangani perjanjian media digital menguntungkan dengan memanfaatkan status selebriti mereka, pertama untuk menghasilkan kandungan untuk Netflix, dan untuk menyediakan podcast untuk Spotify.
Mereka pernah berbicara tentang keinginan “untuk melakukan sesuatu yang bermakna, untuk melakukan sesuatu yang penting”, di California, di mana mereka telah melancarkan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan dikenali sebagai Archewell.
Pasangan itu telah bekerjasama dengan badan amal untuk memberikan makanan kepada pesakit kronik di Los Angeles, dan Markle tahun lalu lantang berbicara mengenai kematian George Floyd, seorang lelaki Afrika-Amerika tidak bersenjata yang terbunuh ketika dalam tahanan polis.