
COX’S BAZAR: Bangladesh hari ini mempertahankan penggunaan pagar kawat duri di sekeliling kem yang menempatkan hampir sejuta pelarian Rohingya, selepas satu kebakaran besar mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan hampir 50,000 lagi kehilangan tempat tinggal.
Kebakaran itu yang memusnahkan hampir 10,000 khemah pelarian, yang terburuk sejak lebih 740,000 etnik Rohingya melarikan diri daripada operasi ketenteraan di Myanmar pada 2017 yang disimpulkan penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa dilaksanakan dengan “niat penghapusan bangsa”.
PBB, kumpulan bantuan dan pemimpin Rohingya berkata, pagar yang didirikan tentera itu menghalang kerja menyelamat dan mendatangkan kecederaan ketika kebakaran 12 jam pada Isnin lalu.
“Usaha menyelamat terbukti mencabar disebabkan pagar perimeter itu.
“Dalam beberapa keadaan, pelarian terpaksa memotong pagar itu untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran,” kata PBB, agensi bantuan tempatan dan antarabangsa dalam kenyataan bersama.
Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Shah Rezwan Hayat mempertahankan penggunaan pagar itu, yang dibina beberapa bulan lalu ketika keadaan dalam penempatan luas itu semakin teruk.
“Saya tidak percaya pagar ini menghalang usaha menyelamat. Ada jalan mencukupi dalam kem dan ratusan pegawai kami, anggota polis dan sukarelawan berada di sana untuk menyelamatkan mereka,” katanya kepada AFP.
Beliau berkata, pagar itu tidak dibina di dalam kem sebagai tembok antara blok khemah.
“Pagar kawat duri itu didirikan di luar kem untuk memastikan keselamatan orang Rohingya. Jika pagar itu bertindak sebagai penghalang, bagaimana berpuluh-puluh jentera bomba, van polis memasuki kem dalam 20 minit selepas kebakaran berlaku?” soalnya.
Terdahulu, pelarian Rohingya menyuarakan kemarahan kepada wartawan dan media sosial dengan berkata, ada yang cedera ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran melalui pagar itu.
Hayat turut menolak dakwaan PBB kira-kira 400 orang masih hilang selepas kebakaran itu, dengan berkata kebanyakan pelarian mencari perlindungan dengan tinggal bersama saudara di kem berdekatan, sekolah atau pusat transit pelarian.
“Kami berada di lapangan. Setakat ini, kami tidak fikir ada orang yang hilang,” katanya sambil menambah pihak berkuasa dan agensi PBB sedang membina khemah dan tempat tinggal sementara dengan kebanyakan pelarian mula pulang ke sana.
Jurucakap polis berkata, balai polis tempatan tidak menerima sebarang laporan orang hilang daripada etnik Rohingya.
Katanya, pegawai sedang menyoal siasat lapan orang berhubung kebakaran itu.
Hayat berkata, hasil siasatan awal mencadangkan kebakaran itu berpunca daripada dapur di sebuah tempat perlindungan yang merebak dengan cepat akibat angin kencang dan tong gas memasak.
Katanya, siasatan penuh sedang dijalankan.