
Sekolah agama itu penanda penting buat golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) dalam negara Islam sangat fundamental itu, di mana transgender dipulaukan, walaupun tiada larangan kerajaan untuk mereka menghadiri sekolah agama dan bersolat di masjid.
“Kebanyakan keluarga tidak menerima orang transgender. Mereka dihalau dari rumah. Transgender beralih kepada jalan salah.
“Dahulu, saya juga salah seorang daripada mereka,” kata Khan, 34.
Sambil menahan air mata, Khan mengimbau bagaimana beliau dibuang keluarga sendiri pada usia 13 tahun dan terpaksa mengemis.
Beliau menyertai sebuah kumpulan transgender ketika berusia 17 tahun, menari di majlis perkahwinan dan acara lain, tetapi berhenti untuk menyelami agamanya selepas bermimpi seorang arwah rakan transgender dan penari yang merayu beliau melakukan sesuatu untuk golongan itu.
Khan belajar al-Quran di rumah, dan menghadiri sekolah agama, sebelum membuka sebuah madrasah yang mempunyai dua kelas pada Oktober.
“Saya mengajar orang mengaji al-Quran untuk berkat dunia akhirat, demi kehidupan ini dan akhirat,” katanya sambil menjelaskan madrasah itu menawarkan tempat kepada transgender untuk bersolat, belajar mengenai Islam dan bertaubat terhadap tindakan lampau.
Katanya, sekolah itu belum menerima bantuan kerajaan, walaupun beberapa pegawai berjanji membantu pelajarnya mencari pekerjaan.
Dengan sedikit sumbangan, Khan mengajar pelajarnya menjahit dan menyulam, dengan harapan dapat mengumpul dana untuk sekolah itu melalui penjualan pakaian.
Parlimen Pakistan mengiktiraf jantina ketiga itu pada 2018, dengan memberikan hak asasi kepada golongan itu seperti hak mengundi dan memilih jantina mereka pada dokumen rasmi.
Pun begitu, transgender masih dipinggirkan di negara itu, dengan ada yang terpaksa mengemis, menari dan terbabit dalam pelacuran untuk mencari nafkah.
Timbalan Pesuruhjaya Islamabad, Hamza Shafqaat berkata, madrasah itu mampu membantu transgender mengasimilasi diri ke dalam masyarakat arus perdana.
“Saya harap jika anda meniru model ini di bandar lain, keadaan akan berubah.”
Sebuah sekolah agama untuk transgender sudah dibuka di Dhaka, ibu negara Bangladesh, dan tahun lalu sebuah kumpulan transgender Kristian menubuhkan gereja sendiri di Karachi, bandar pelabuhan di selatan Pakistan.
Bancian Pakistan pada 2017 merekodkan kira-kira 10,000 orang transgender, walaupun kumpulan hak asasi transgender berkata, jumlah itu mungkin melebihi 300,000 orang kini di negara dengan 220 juta penduduk.
“Ia memberikan ketenangan hati ketika saya membaca al-Quran,” kata pelajar madrasah, Simran Khan, yang turut berminat mempelajari kemahiran hidup.
“Ia jauh lebih baik daripada kehidupan penuh dengan penghinaan,” katanya yang berusia 19 tahun.