
AS, Perancis, dan Jerman – tiga pengeksport terbesar dunia – meningkatkan penghantaran namun diimbangi penurunan eksport dari Rusia dan China.
Volum penghantaran senjata antara negara – penunjuk permintaan – yang tidak meningkat berbanding tempoh lima tahun sebelum ini merupakan yang pertama kali sejak 2001-2005.
Ketika pandemik menjejaskan ekonomi serata dunia dan menyebabkan banyak negara mengalami kemelesetan, SIPRI berkata masih terlalu awal untuk membuat tanggapan sama ada keperlahanan dalam penghantaran senjata ini akan berterusan.
“Impak pandemik ke atas ekonomi mungkin menyaksikan beberapa negara menilai semula import senjata dalam tahun-tahun mendatang,” kata Pieter Wezeman, penyelidik kanan program perbelanjaan senjata dan ketenteraan SIPRI, dalam kenyataan.
“Bagaimanapun, dalam masa sama, ketika kemuncak pandemik pada 2020, beberapa negara menandatangani kontrak senjata yang besar.”
Emiriah Arab Bersatu misalnya baru-baru ini menandatangani perjanjian dengan AS untuk memperoleh 50 buah pesawat F-35 dan 18 dron bersenjata, sebahagian daripada pakej bernilai USD23 bilion.
Negara di Asia Barat membentuk bahagian terbesar daripada import senjata, meningkat sebanyak 25% dalam tempoh 2016-2020 berbanding 2011-2015.
Arab Saudi, pengimport senjata terbesar dunia, meningkatkan import senjata sebanyak 61% manakala Qatar pula 361%.
Asia dan Oceania merupakan rantau pengimportan senjata terbesar, menerima 42% daripada penghantaran senjata dunia pada 2016-2020.
India, Australia, China, Korea Selatan, dan Pakistan merupakan pengimpot terbesar di rantau itu.
“Bagi kebanyakan negara di Asia dan Oceania, persepsi bahawa China merupakan ancaman menjadi pendorong utama import senjata,” kata Siemon Wezeman, penyelidik kanan di SIPRI.