
Koir pelajar perempuan ialah ciri biasa dalam acara rasmi di negara itu, tetapi reaksi segera muncul selepas pihak berkuasa pendidikan di Kabul melarang penyertaan remaja.
Arahan itu menimbulkan kebimbangan pegawai pendidikan akan “mentalibankan” negara itu, menandakan kembalinya kumpulan Islam autoritarian melarang penyertaan wanita dalam hampir semua bahagian masyarakat di luar rumah mereka.
Lewat Ahad lalu, Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan berkata, larangan itu “tidak mencerminkan pendirian atau dasar kementerian”.
Pengumuman itu menyusul kemarahan pengguna media sosial yang menggunakan tanda pagar “#IAmMySong” untuk meningkatkan kesedaran.
“Hari ini di Afghanistan, Kementerian Pendidikan mematikan suara gadis kecil kita dengan melarang mereka menyanyi,” tulis Shamila Kohestani, bekas kapten bola sepak wanita negara itu di Twitter.
Tayeb Safa menerusinya Facebook berkata: “Saya rasa Taliban akan kembali.”
Kontroversi itu berlaku di tengah-tengah ketakutan terhadap kemungkinan Taliban kembali berkuasa ketika Amerika Syarikat bercadang menarik balik baki pasukan tenteranya dari negara itu dalam beberapa minggu akan datang sejajar perjanjian penting yang dimeterai dengan pemberontak tahun lalu.
Rundingan damai antara Taliban dan kerajaan tergendala dalam beberapa bulan ini, sementara kempen pembunuhan bersasar – termasuk pembunuhan wanita tempatan berprofil tinggi – mengejut negara itu.
Afghanistan terus menjadi salah sebuah negara paling menindas untuk wanita, walaupun mendapat bantuan antarabangsa selama berdekad dan kejatuhan Taliban.
Bagaimanapun, perubahan positif di kawasan bandar memberi harapan peluang yang semakin meningkat untuk wanita.