
Langkah itu menyusul ketika tentera bergelut untuk mengawal protes harian terhadap rampasan kuasa mereka pada 1 Feb lalu yang menyebabkan pemimpin pilihan rakyat, Aung San Suu Kyi digulingkan.
AA memperjuangkan autonomi lebih besar di Rakhine dan menjadi antara kumpulan paling digeruni sejak dua tahun lalu dalam mencabar tentera yang memerangi pelbagai perang etnik selama tujuh dekad.
AA diletakkan dalam senarai kumpulan pengganas tahun lalu di bawah kerajaan Suu Kyi.
“Gelaran kumpulan ini sebagai pengganas ditamatkan mulai 11 Mac 2021,” lapor Mirror Daily yang dikendalikan kerajaan sambil memetik berakhirnya serangan dan wawasan junta untuk mewujudkan “kedamaian abadi di seluruh negara”.
AA, yang bersetuju dengan gencatan senjata sementara pada November lalu, tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap berita itu.
Sebahagian daripada lebih 24 kumpulan bersenjata etnik di Myanmar mengkritik rampasan kuasa itu, malah turut menyokong penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa, tetapi tidak meningkatkan tindakan ketenteraan atau mengabaikan perjanjian gencatan senjata secara ketara.
AA tidak menyuarakan sokongan untuk penunjuk perasaan dan tidak banyak protes diadakan di Rakhine, yang menjadi tumpuan dunia pada 2017, apabila kira-kira 700,000 minoriti Islam Rohingya melarikan diri daripada operasi ketenteraan.