Geng bersenjata curi kertas tandas dipenjara 40 bulan

Geng bersenjata curi kertas tandas dipenjara 40 bulan

Tiga lelaki mengaku mengugut pemandu khidmat penghantaran dengan pisau di luar sebuah pasar raya utama di Mongkok dan melarikan 50 bungkusan kertas tandas kira-kira HK$1,700.

Kertas tandas menjadi rebutan di Hong Kong ketika Covid-19 mula menular dari China. (Gambar AP)
HONG KONG:
Sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau yang mencuri beratus-ratus gulung kertas tandas ketika kekurangan bekalan akibat pembelian panik pada peringkat awal penularan Covid-19 di Hong Kong, dipenjara lebih tiga tahun.

Akhbar Mingpao melaporkan tiga lelaki itu masing-masing dipenjara 40 bulan kerana rompakan bersenjata pada Februari 2020, dengan kira-kira 600 gulung kertas tandas dilarikan mereka.

Kertas tandas menjadi rebutan di Hong Kong yang berpenduduk padat, ketika Covid-19 mula menular dari tengah China ke pusat kewangan itu.

Pembelian panik menyebabkan banyak barang keperluan dan bekalan makanan ruji disapu bersih daripada rak pasar raya.

Kegagalan pasar raya mengisi semula bekalan dalam kadar segera menyebabkan kadangkala wujud barisan panjang di seluruh bandar itu dan kertas tandas disapu bersih hanya dalam beberapa minit selepas premis dibuka.

Ada orang dengan bangganya memuat naik gambar ke internet menunjukkan pangsapuri sempit mereka dipenuhi timbunan kertas tandas.

Ketika rompakan itu, tiga lelaki terbabit mengaku menggunakan pisau untuk mengugut pemandu khidmat penghantaran di luar sebuah rantaian pasar raya utama di daerah Mongkok.

Mereka melarikan 50 bungkus kertas tandas bernilai kira-kira HK$1,700, tetapi berjaya dikesan polis tidak lama kemudian.

Mingpao melaporkan geng itu yang mengaku melakukan rompakan berkenaan meminta maaf kepada pemandu khidmat penghantaran itu dan membayar kertas tandas yang dilarikan mereka.

Akhbar itu memetik hakim perbicaraan sebagai berkata, jenayah itu dirancang terlebih dahulu dan layak dijatuhkan hukuman penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.