
Tiga pemimpin itu – Panusaya Sithijirawattanakul, Panupong Jadnok dan Jatupat Boonpattararaksa didakwa melanggar Seksyen 112 Kanun Jenayah yang juga dikenali lese majeste kerana menghina sistem monarki ketika tunjuk perasaan di Universiti Thammasat dan Sanam Luang di Bangkok September tahun lalu.
Timbalan Jurucakap Peguam Negara, Prayut Pecharakun berkata, ketiga-tiganya turut dibicarakan kerana melanggar Seksyen 116 Kanun Jenayah (hasutan) dan larangan berhimpun bersama 15 lagi penunjuk perasaan.
Februari lalu, empat pemimpin tunjuk perasaan – Parit Chiwarak, Arnon Nampa, Somyos Prueksakasemsuk dan Patiwat Saraiyaem didakwa di bawah akta sama dan berulang kali tidak dibenarkan diikat jamin.
Sejak pertengahan Julai lalu, penunjuk perasaan anti-kerajaan berhimpun di Bangkok dan bandar lain menuntut perubahan politik, mendesak perdana menteri meletak jawatan, Parlimen dibubarkan, Perlembagaan dipinda dan reformasi sistem beraja.
Menurut peguam hak asasi manusia Thailand, sejak November lalu, sekurang-kurangnya 61 orang, termasuk tiga di bawah umur didakwa.