Singapura ingatkan bank pantau aliran dana curiga dari Myanmar

Singapura ingatkan bank pantau aliran dana curiga dari Myanmar

Kedudukan Singapura sebagai antara pusat kewangan utama di dunia dan hub perdagangan menjadikannya lebih mudah terdedah kepada kegiatan pengubahan wang akibat aliran rentas sempadan yang besar.

Pelanggan menunggu giliran untuk mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik Bank Myawaddy di Yangon bulan lalu. (Gambar AFP)
SINGAPURA:
Bank pusat Singapura meminta institusi kewangan berwaspada terhadap sebarang transaksi atau aliran dana mencurigakan antara negara itu dan Myanmar, menurut pekeliling yang dilihat Reuters susulan kebimbangan terhadap potensi jenayah kewangan.

Dalam pekeliling bertarikh 25 Feb itu, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) mengingatkan semua ketua eksekutif institusi kewangan mengenai keperluan melakukan usaha wajar terhadap pelanggan dan mengambil langkah mengurangkan risiko yang sesuai dalam keadaan berisiko tinggi.

Langkah itu menyusul ketika demonstrasi besar-besaran di Myanmar masih berlangsung selepas rampasan kuasa oleh tentera.

Aktivis pro-demokrasi pada Khamis berikrar akan mengadakan lebih banyak demonstrasi di negara Asia Tenggara selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberitahu 38 orang terbunuh dalam hari paling ganas pergolakan sejak rampasan kuasa bulan lalu.

Kedudukan Singapura sebagai satu daripada pusat kewangan utama di dunia dan hub perdagangan menjadikannya lebih mudah terdedah kepada kegiatan pengubahan wang akibat aliran rentas sempadan yang besar. Singapura mempunyai hubungan rapat dengan Myanmar dan merupakan salah satu pelabur terbesarnya.

Dalam pekeliling itu, MAS menggesa institusi kewangan memantau keadaan yang cepat berkembang di Myanmar, termasuk sekatan sebelah pihak oleh bidang kuasa lain.

Katanya, keadaan di Myanmar boleh menyebabkan peningkatan kegiatan pengubahan wang, kewangan keganasan dan jenayah kewangan lain.

“Berdasarkan perkembangan di Myanmar, institusi kewangan diingatkan mengambil langkah sesuai mengurangkan sebarang risiko yang timbul daripada aktiviti perniagaan dan hubungan pelanggan mereka, termasuk risiko reputasi, undang-undang dan operasi,” kata MAS.

Katanya, institusi kewangan perlu melaporkan sebarang transaksi mencurigakan dengan segera dan melabelkannya sebagai “Myanmar 2021”.

Dalam maklum balas terhadap pertanyaan Reuters, MAS mengesahkan ia mengeluarkan satu pekeliling pada 25 Feb lalu berhubung perkembangan di Myanmar.

Pekeliling itu dikeluarkan dua hari selepas bank pusat itu menerusi kenyataan berkata, pengawasan secara tetap ke atas sistem perbankan tidak menemui sebarang dana besar dari individu atau syarikat Myanmar di bank republik itu.

Menurut makluman di laman webnya, polis Singapura menggunakan laporan transaksi mencurigakan dan maklumat kewangan lain serta menganalisanya untuk mengesan kegiatan pengubahan wang, kewangan keganasan dan jenayah serius lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.