EU gantung dana pembangunan untuk Myanmar selepas rampasan kuasa

EU gantung dana pembangunan untuk Myanmar selepas rampasan kuasa

EU turut menghentikan semua kerjasama pembangunan yang akan menyokong junta.

Penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa menjulang gambar pemimpin Myanmar, ketika menyertai demonstrasi di Yangon pada Selasa lalu. (Gambar AP)
BRUSSELS:
Kesatuan Eropah (EU) menggantung sokongannya untuk projek pembangunan di Myanmar bagi mengelakkan bantuan kewangan disalurkan kepada tentera yang merampas kuasa bulan lalu, kata pegawai.

EU yang dianggotai 27 negara memaklumkan sebuah jawatankuasa Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang ia menghentikan semua kerjasama pembangunan yang akan menyokong pihak berkuasa tentera, kata pegawai perdagangan berpangkalan di Geneva.

Suruhanjaya Eropah, eksekutif EU, mengesahkan ia menggantung sokongan belanjawan, yang dahulunya membabitkan lebih €200 juta dalam program berasingan biasanya untuk empat tahun.

Keputusan EU menyusul kecaman antarabangsa terhadap rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar pada 1 Feb lalu menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokratik.

Ketika protes menentang junta berterusan, wakil khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Myanmar berkata, 38 orang terbunuh pada Rabu.

Bantuan pembangunan EU kepada Myanmar menumpukan pendidikan, keadilan, pilihan raya dan menyokong nutrisi di kawasan luar bandar, antara negara termiskin di Asia.

Bulan lalu, menteri luar EU bersetuju mengkaji sekatan yang boleh menyasarkan perniagaan dimiliki tentera, tetapi menolak akan mengehadkan perdagangan untuk Myanmar bagi mengelakkan pekerja termiskin dalam industri tekstil terjejas.

Myanmar mendapatkan manfaat daripada skim “Semua kecuali senjata” EU, yang menawarkan bebas cukai, akses bebas kuota untuk semua eksport, kecuali senjata api, ke pasaran EU yang mempunyai 450 juta pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.