Kontraktor asing terbunuh, yang lain cedera dalam serangan roket Arbil

Kontraktor asing terbunuh, yang lain cedera dalam serangan roket Arbil

Sumber keselamatan mengesahkan sekurang-kurangnya satu roket menghentam kompleks tentera yang menempatkan anggota tentera pakatan pimpinan AS.

Pangkalan tentera dan diplomatik Barat menjadi sasaran puluhan roket dan bom jalanan sejak akhir 2019. (Gambar AP)
ARBIL:
Serangan roket bertalu-talu yang menyasarkan pangkalan udara di wilayah Kurdistan Iraq lewat semalam membunuh seorang kontraktor awam asing, dan mencederakan lima yang lain dan seorang tentera Amerika Syarikat, kata pakatan yang dipimpin Amerika Syarikat.

Serangan itu adalah kali pertama pusat ketenteraan atau diplomatik Barat disasarkan di Iraq dalam tempoh hampir dua bulan, setelah beberapa kejadian sebelumnya.

Di bawah pentadbiran bekas presiden AS Donald Trump, Washington menjamin bahawa kematian warga AS dalam serangan roket seperti itu akan mencetuskan kempen pengeboman besar-besaran di Iraq.

Sumber keselamatan Iraq dan Barat berkata, sekurang-kurangnya tiga roket ditembakkan ke arah lapangan terbang bandar itu, di mana tentera asing berpangkalan sebagai sebahagian daripada pakatan antarabangsa yang memerangi kumpulan Islamic State (IS).

Dua roket lain menghentam kawasan perumahan di pinggir bandar Arbil.

Ketua direktorat kesihatan Arbil Delovan Jalal berkata, sekurang-kurangnya lima orang awam cedera dan seorang dalam keadaan kritikal.

Dalam kenyataan, Kementerian Dalam Negeri Kurdistan mengesahkan “beberapa roket” menghentam bandar itu, sambil menambah, agensi keselamatan telah melancarkan “siasatan terperinci”, menggesa orang awam untuk kekal di rumah sehingga notis lanjut.

Tiada pihak yang serta-merta mengaku bertanggungjawab, walaupun beberapa saluran propaganda pro-Iran adalah yang pertama melaporkan serangan itu.

Pelanggaran gencatan senjata

Pangkalan tentera dan diplomatik Barat telah menjadi sasaran puluhan roket dan bom jalanan sejak akhir 2019.

Sebilangan besarnya menyerang ibu kota Iraq, Baghdad, walaupun pasukan Iran menembakkan peluru berpandu ke lapangan terbang Arbil pada Januari 2020, beberapa hari selepas Washington membunuh jeneral utama Qasem Soleimani di lapangan terbang Baghdad.

Sejak itu, roket kerap ditembak bertalu-talu ke arah kedutaan AS di Baghdad, dengan pegawai-pegawai AS dan Iraq menyalahkan puak pro-Iran yang taksub termasuk Kataeb Hizbullah dan Asaib Ahl al-Haq.

Kumpulan-kumpulan ini menentang keras pakatan pimpinan AS, yang berpangkalan di Iraq sejak 2014 untuk membantu pasukan tempatan menewaskan IS.

Ketegangan dengan Turki

Serangan terbaru itu berlaku di kala ketegangan sedang meningkat di utara Iraq, di mana negara jiran, Turki, melakukan serangan darat dan udara yang ganas terhadap Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melakukan pemberontakan terhadap Turki sejak 1984.

Tidak puas hati dengan serangan yang berlanjutan, Turki melancarkan operasi besar-besaran terhadap PKK pada Jun 2020, dengan menggunakan UAV, serangan udara dan pasukan darat untuk meredakan kekacauan di kawasan sempadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.