Pemerintahan tentera berbeza kali ini, kata pemimpin rampasan kuasa Myanmar

Pemerintahan tentera berbeza kali ini, kata pemimpin rampasan kuasa Myanmar

Pemimpin junta baharu Min Aung Hlaing berkata, pilihan raya yang 'bebas dan adil' akan diadakan selepas tugas dalam tempoh darurat selesai.

Pemimpin junta baharu, Min Aung Hlaing, menegaskan rampasan kuasa wajar akibat “penyelewengan pengundi”. (Gambar AP)
YANGON:
Panglima angkatan tentera Myanmar menegaskan pemerintahan ketenteraan akan berbeza kali ini, selepas undang-undang tentera diisytiharkan di beberapa kawasan di negara itu susulan protes besar-besaran menentang junta baharu.

Perintah yang meliputi Yangon, Mandalay dan kawasan lain melarang orang ramai melakukan protes atau berkumpul lebih lima orang, dan mengenakan perintah berkurung dari 8 malam hingga 4 pagi.

Pemimpin junta baharu Min Aung Hlaing, semalam membuat ucapan pertama beliau di televisyen sejak rampasan kuasa, menegaskan rampasan kuasa wajar akibat “penyelewengan pengundi”.

Beliau mengulangi desakan ketenteraan sebelum ini bahawa rampasan kuasa itu selaras dengan perlembagaan, tetapi menyatakan bahawa kali ini, semuanya akan “berbeza” daripada pemerintahan tentera selama 49 tahun terdahulu, yang berakhir pada 2011.

“Selepas tugas dalam tempoh darurat selesai, pilihan raya umum pelbagai parti yang bebas dan adil akan diadakan mengikut perlembagaan,” katanya.

Jeneral itu berkata, negara berkenaan mengalu-alukan pelaburan asing dan juga mengumumkan penamatan sekatan berkaitan koronavirus, termasuk membuka kembali sekolah dan pagoda Buddha.

Pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh semasa krisis 2017 akan terus dihantar pulang ke Rakhine, kata beliau.

Perhimpunan besar-besaran

Junta setakat ini mengelak daripada menggunakan kekerasan yang membawa maut terhadap demonstrasi di sebahagian besar Myanmar, tetapi dengan tekanan semakin meningkat, polis anti-rusuhan menggunakan meriam air dalam usaha meleraikan ribuan orang ramai yang berkumpul di Naypyidaw semalam.

Minggu lalu, tentera menahan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dan puluhan anggota lain partinya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), menamatkan sebuah dekad pemerintahan separa awam dan mencetuskan kecaman antarabangsa.

Di ibu kota komersial Yangon semalam, orang ramai turun ke jalan utama di bandar, lebih ramai daripada hari sebelumnya, menghalang pergerakan lalu lintas.

Pekerja tekstil dan penjawat awam, antara lain, mogok dan turun ke jalanan. Ada yang tidak kisah gaji mereka dipotong, tetapi ada juga yang risau tentang kelangsungan hidup mereka, sekalipun mereka setia kepada Suu Kyi.

Ketakutan kini kembali

Junta mengisytiharkan keadaan darurat selama setahun minggu lalu, sambil berjanji untuk mengadakan pilihan raya baharu selepas ia berakhir, tanpa menetapkan jangka masa yang tepat.

Sejak itu, Amerika Syarikat menerajui seruan global supaya jeneral tentera Myanmar melepaskan kuasa.

Pope Francis juga semalam meminta pembebasan segera pemimpin politik yang dipenjarakan.

Majlis Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, pihaknya akan mengadakan sesi khas pada Jumaat untuk membincangkan krisis di Myanmar.

Jurutera Kyaw Zin Tun berkata, ketika menunjuk perasaan di Yangon semalam, dia teringat ketakutan yang dia rasakan ketika membesar di bawah pemerintahan junta pada 1990-an.

“Dalam lima tahun lalu di bawah pemerintahan demokratik, ketakutan kami reda,” katanya kepada AFP.

“Namun kini, ketakutan itu kembali. Jadi, kita harus menggulingkan tentera junta demi masa depan kita semua.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.