India: Korban runtuhan glasier di Uttarakhand meningkat kepada 26 orang

India: Korban runtuhan glasier di Uttarakhand meningkat kepada 26 orang

Runtuhan gunung kedua tertinggi di India itu mencetuskan banjir dan turut merosakkan projek tenaga air Rishiganga.

Sebanyak 171 lagi dilaporkan masih hilang, 35 daripadanya dipercayai terperangkap dalam terowong dan operasi mencari serta menyelamat sedang dijalankan. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Angka korban dalam kejadian glasier Himalaya runtuh di utara India yang mencetuskan banjir besar pada Ahad, kini mencecah 26 orang manakala 171 lagi masih hilang.

Runtuhan sebahagian glasier Nanda Devi, gunung kedua tertinggi di India, terletak di Tapovan, daerah Chamoli, di Uttarakhand itu mencetuskan banjir dan turut merosakkan projek tenaga air Rishiganga, lapor Agensi Anadolu.

Ketua Polis Uttarakhand Ashok Kumar pada Isnin malam berkata 26 mayat telah dijumpai di Tapovan.

Sementara, 171 lagi masih hilang, 35 daripadanya dipercayai terperangkap dalam terowong dan operasi mencari serta menyelamat sedang dijalankan.

Misi mencari dan menyelamat besar-besaran dilancarkan pada Ahad.

Mangsa yang hilang kebanyakannya terdiri pekerja projek tenaga elektrik.

Ketua Pasukan Tindak Balas Bencana Negara, Satya Narayan Pradhan berkata lebih banyak pasukan bantuan dikerahkan ke lokasi kejadian.

Sementara itu pada Ahad Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan kerajaan akan memberikan pampasan kepada waris mangsa yang maut dan mereka yang cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.