
Walaupun jangkitan semula jarang berlaku, namun kementerian, setelah mendapat nasihat pakar, telah menilai bukti klinikal dan makmal yang “menunjukkan bahawa ia adalah kes kemungkinan jangkitan semula”.
Tambahan, melalui hasil ujian reaksi polimerase berantai (PCR) yang positif, kementerian memaklumkan terdapat peningkatan yang nyata dalam ujian titer antibodi berbanding tempoh sebelum jangkitan dan “mengesyaki pesakit terdedah kepada jangkitan baharu yang meningkatkan paras antibodinya”.
“Virus yang dikesan di dalam sampel yang diambil pada Januari 2021 juga berbeza secara genetik dengan (virus) yang ada kaitan dengan wabak di asrama tahun lalu, menunjukkan bahawa jangkitan ini mungkin berbeza dan baharu,” menurut kementerian itu dalam kenyataan semalam.
Panel pakar terdiri daripada pakar penyakit berjangkit dan mikrobiologi dari Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID), Hospital Besar Singapura dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan.
Menurut kementerian, pihaknya akan terus memantau kes Covid-19 yang telah pulih untuk menentukan imuniti pasca jangkitan pesakit.
“Setakat ini, tiada petunjuk bahawa pekerja di asrama berkenaan yang telah pulih mengalami kehilangan imuniti pasca jangkitan yang signifikan,” katanya.
Kementerian memaklumkan, pekerja berkenaan yang sebelum ini dilabelkan sebagai kes 2513, dikesan melalui pengujian berjadual yang dijalankan sebagai sebahagian daripada pengawasan terhadap pekerja yang telah pulih bagi memantau imuniti pasca jangkitan mereka.
Kementerian memaklumkan kes itu membabitkan lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun yang mempunyai permit kerja dan tinggal di asrama tersebut di 43 Tech Park Crescent.
Dia disahkan dijangkiti Covid-19 pada 12 April 2020 dan telah pulih serta secara konsisten merekodkan keputusan negatif dalam ujian Covid-19 sejak Jun 2020.
Bagaimanapun, pada 25 Jan lalu, keputusan ujiannya positif dan dia telah diasingkan.
“Banyak ujian berulang yang dilakukan juga didapati positif,” menurut kementerian itu.
Kementerian juga memaklumkan pekerja itu yang kini ditempatkan di NCID telah melaporkan dia tidak sihat pada 22 dan 23 Jan, namun, tidak mengalami gejala.
Setakat ini, semua kontak rapat kes berkenaan yang dikenal pasti telah diuji negatif Covid-19 dan telah dikuarantin.