Protes anti-junta Myanmar merebak, media sosial terjejas

Protes anti-junta Myanmar merebak, media sosial terjejas

Peguam Aung San Suu Kyi berkata, dia tidak dapat berjumpa pemimpin de facto Myanmar itu, tuntut pembebasan tanpa syarat.

Penyokong memberikan bunga ros kepada polis sebagai simbol keamanan di Mandalay semalam. (Gambar AP)
YANGON:
Peguam Aung San Suu Kyi dan presiden yang digulingkan, Win Myint berkata, mereka ditahan di rumah sejak ditahan Isnin lalu setelah tentera merampas kuasa.

Peguam Khin Maung Zaw berkata, beliau belum dapat berjumpa kedua-dua pemimpin itu dan sedang menuntut pembebasan tanpa syarat untuk mereka, tetapi diberitahu mereka masih disiasat.

Polis memfailkan tuduhan ke atas Suu Kyi kerana mengimport dan menggunakan enam radio “walkie-talkie” di rumahnya secara haram.

“Sudah tentu kami ingin pembebasan tanpa syarat kerana mereka tidak melanggar undang-undang,” kata peguam Suu Kyi kepada wartawan di ibu kota, Naypyidaw.

Polis turut menahan seorang pembantu veteran Suu Kyi dan puluhan peserta demonstrasi menentang rampasan kuasa tersebut.

Tekanan antarabangsa terhadap junta meningkat dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendesak pembebasan tahanan dan Washington mempertimbangkan sekatan terhadap jeneral yang memerintah.

Wakil khas PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener mengecam tindakan tentera itu menerusi panggilan telefon dengan ketua panglima tentera negara itu, Soe Win, dan menyeru semua yang ditahan dibebaskan segera, kata jurucakap PBB semalam.

Dua hari selepas larangan sementara ke atas Facebook, pihak berkuasa memerintahkan penyedia internet menyekat Twitter dan Instagram, menurut Telenor Asa dari Norway.

Jumlah pengguna Twitter melonjak sejak larangan ke atas Facebook.

Guru menjadi kumpulan terbaru menyertai kempen ketidakpatuhan sivil dengan sebilangan pensyarah menyertai mogok atau bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung rampasan kuasa yang menghentikan peralihan demokrasi lama dan tidak stabil.

“Kami mahu rampasan kuasa tentera gagal,” kata Nwe Thazin Hlaing, pensyarah di Universiti Pendidikan Yangon.

Reuters tidak dapat menghubungi kerajaan untuk mendapatkan komen.

Kempen ketidakpatuhan sivil itu, yang dimulakan doktor, turut tersebar ke beberapa pejabat kerajaan, dan semalam mendapat sokongan rasmi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), yang menyifatkan rampasan kuasa dan penahanan Suu Kyi “tidak boleh diterima”.

Panglima Angkatan Tentera, Min Aung Hlaing mengambil alih kuasa dengan berkata, terdapat penyelewengan dalam pilihan raya yang dimenangi NLD November lalu, dakwaan yang disangkal Suruhanjaya Pilihan Raya.

Warna merah

Di Yangon, bandar terbesar Myanmar, penyokong Suu Kyi menggantung pakaian, riben dan belon merah di luar kediaman mereka sebagai tanda sokongan.

“Saya menggantung gaun merah saya di luar kedai sejak semalam untuk menunjukkan sokongan kami kepada Ibu Suu,” kata Cho Cho, 39, pemilik kedai salad.

“Ini adalah perjuangan terakhir kami untuk demokrasi, perjuangan untuk anak-anak kami.”

Tetapi, pihak berkuasa juga mula memperhebatkan tindakan terhadap penentang rampasan kuasa.

Di Mandalay, 30 orang ditangkap kerana menyertai protes sejak tiga malam lalu.

Tahanan berprofil tinggi terbaru adalah Win Htein, 79, penyokong Suu Kyi yang berulang kali dipenjarakan selama beberapa dekad mereka berjuang melawan junta sebelumnya.

Seramai 15 anggota Majlis Keselamatan PBB dalam kenyataan Khamis lalu menuntut pembebasan semua tahanan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia, kebebasan asasi dan kedaulatan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.