
“Sebagai perdana menteri Israel, saya beri jaminan kami akan memerangi putar belit ini sepenuh jiwa kami,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ini jelas tindakan anti-Yahudi.”
Semalam, ICC memutuskan ia mempunyai bidang kuasa dalam keadaan membabitkan wilayah Palestin yang dijajah, seterusnya membuka laluan untuk tribunal berkenaan memulakan siasatan jenayah perang.
Pendakwa ICC Fatou Bensouda meminta mahkamah untuk pandangannya dari segi perundangan, sama ada kuasanya turut merangkumi kawasan dijajah Israel, selepas mengumumkan keinginannya melakukan siasatan penuh pada Disember 2019.
ICC berkata, hakimnya “secara majoriti memutuskan bidang kuasa wilayah mahkamah berhubung keadaan di Palestin… merangkumi wilayah dijajah Israel sejak 1967, khususnya Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis timur.
Palestine adalah anggota mahkamah itu sejak 2015, tetapi Israel bukan ahli.
Israel menjajah Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dalam Perang Enam Hari pada 1967 sebelum merampas Baitulmaqdis timur.
Kawasan itu hari ini dihuni sekurang-kurangnya lima juta orang Palestin yang mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hidup di bawah penjajahan Israel.
Semenanjung Gaza disekat Israel dan ditadbir Hamas.
Perdana menteri Palestin Mohammed Shtayyeh memuji keputusan ICC itu sebagai “kemenangan untuk keadilan dan kemanusiaan, untuk nilai-nilai kebenaran, kesaksamaan dan kebebasan, dan untuk darah semua mangsa dan keluarga mereka.”
Netanyahu bagaimanapun menyelar sebarang usaha ICC untuk menyiasat apa disifatkanya sebagai “jenayah perang palsu.”
“Mahkamah, yang ditubuhkan untuk menghalang perbuatan jahat seperti Holocaust Nazi terhadap orang Yahudi, kini menyasarkan satu-satunya negara bangsa Yahudi,” katanya.
“Pertama sekali, ia membuat dakwaan dahsyat bahawa orang Yahudi yang tinggal di tempat kami sendiri melakukan jenayah perang.
“Kedua, ia mendakwa apabila negara demokratik Israel mempertahankan diri terhadap pengganas yang membunuh anak-anak kami, dan menembak bandar kami, kami pula dituduh melakukan satu lagi jenayah perang,” katanya.