Rampasan kuasa: Bandar terbesar Myanmar bingit bunyi pukulan periuk dan hon tanda protes

Rampasan kuasa: Bandar terbesar Myanmar bingit bunyi pukulan periuk dan hon tanda protes

Penduduk Yangon menggambarkan aksi itu sebagai tradisi Myanmar untuk 'menghalau kejahatan dan karma buruk'.

Penjaja membaca surat khabar di tepi jalan menuju ke kuil Buddha Shwedagon di Yangon, bandar terbesar di Myanmar di mana protes besar-besaran rakyat berlaku. (Gambar AP)
YANGON:
Bunyi bingit pukulan periuk dan hon kereta bergema di seluruh pelusuk bandar terbesar di Myanmar, Yangon, malam tadi, dalam protes besar-besaran terhadap rampasan kuasa tentera yang menggulingkan pemimpin, Aung San Suu Kyi.

Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan pemenang Hadiah Nobel Keamanan yang ditahan itu mendesak supaya beliau dibebaskan oleh pihak tentera junta yang merampas kuasa pada Isnin dan menahan Suu Kyi di lokasi yang tidak didedahkan. Parti tersebut juga menuntut kemenangan beliau dalam pilihan raya 8 Nov diiktiraf.

Tentera menolak kemenangan bersih NLD dalam pilihan raya, atas tuduhan penyelewengan yang tidak berasas. Mereka menahan pemimpin NLD, menyerahkan kuasa kepada komandan mereka, Min Aung Hlaing, dan mengenakan perintah darurat selama setahun.

Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar Christine Schraner Burgener mendesak Majlis Keselamatan untuk “secara kolektif mengirim isyarat yang jelas untuk menyokong demokrasi di Myanmar”.

“Cadangan tentera untuk mengadakan pilihan raya sekali lagi tidak harus digalakkan,” kata Schraner Burgener dalam satu pertemuan tertutup majlis, menurut kenyataan.

Pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, pengambilalihan itu ditentukan menjadi rampasan kuasa, mencetuskan sekatan dalam bantuan asing.

Bantuan kemanusiaan, termasuk kepada golongan minoriti Muslim Rohingya tanpa kewarganegaraan, dan program yang mempromosikan demokrasi atau memberi manfaat kepada masyarakat awam akan diteruskan.

Pentadbiran Presiden Joe Biden mengancam untuk mengenakan sekatan ke atas jeneral yang merampas kuasa.

Dalam protes yang paling besar setakat ini, rakyat di Yangon melaungkan “Pergilah Kejahatan!”.

“Ini adalah tradisi Myanmar untuk menghalau kejahatan atau karma buruk, dengan memukul baldi logam atau tin,” kata penduduk Yangon, San Tint.

Tidak dapat dielak

Min Aung Hlaing berkata, dalam pertemuan pertama kerajaan barunya semalam bahawa pengambilalihan kuasa oleh tentera tidak dapat dielakkan selepas protes mereka mengenai pilihan raya ditolak.

Pilihan raya dan menentang Covid-19 adalah keutamaan junta, kata beliau.

Beliau sebelum ini menjanjikan pilihan raya yang bebas dan adil dan penyerahan kuasa kepada pemenang, tetapi tidak memberikan tempoh masa.

Suruhanjaya pilihan raya menolak dakwaan penyelewengan tersebut.

NLD menuntut pembebasan semua tahanan “secepat mungkin”. Parti itu juga meminta pihak tentera mengiktiraf keputusan pilihan raya dan mengizinkan Parlimen baharu bersidang, seperti yang dijadualkan pada Isnin.

Suu Kyi, 75, menjalani tahanan rumah antara tahun 1989 dan 2010 ketika beliau memimpin gerakan demokrasi menentang tentera, yang merampas kuasa pada 1962 dan menghapuskan semua tentangan sehinggalah parti Suu Kyi memegang kuasa pada 2015.

Kedudukan antarabangsa Suu Kyi sebagai ikon hak asasi manusia tergugat akibat pengusiran ratusan ribu Rohingya pada 2017 dan pembelaannya terhadap tentera atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai. Namun dia tetap disayangi di tanah airnya sebagai anak wira kemerdekaan Myanmar, Aung San.

Ketidakpatuhan sivil

Kumpulan aktivis mengirimkan banyak pesanan di media sosial yang menyeru ketidakpatuhan sivil. Doktor di lebih daripada 20 hospital berkata, mereka akan menyertai kempen ketidakpatuhan sivil.

Atas dorongan aktivis, aplikasi mesej luar talian Bridgefy telah dimuat turun lebih daripada sejuta kali di Myanmar, sebagai penyelesaian untuk gangguan sambungan telefon dan Internet.

Rampasan kuasa itu menandakan kali kedua tentera menolak kemenangan besar NLD dalam pilihan raya, setelah juga menolak keputusan undian pada 1990 yang bertujuan membuka jalan bagi kerajaan pelbagai pihak.

Susulan protes besar-besaran yang dipimpin oleh sami-sami Buddha pada 2007, para jeneral tentera menetapkan jalan untuk berkompromi, walaupun masih menggenggam kuasa sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.