
Menurut kenyataan media di laman web rasmi IOC pada Selasa, Presidennya, Thomas Bach mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Olimpik Nasional (NOC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memandangkan persiapan menjelang penganjuran Olimpik Tokyo serta Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 kini di peringkat akhir.
IOC berkata, satu sistem pencegahan Covid-19 sudah dibangunkan, merangkumi prosedur imigrasi, kuarantin, ujian saringan, kelengkapan perlindungan diri, pengesanan kontak dan vaksinasi.
“Vaksin adalah satu daripada perkara yang diambil kira dalam sistem itu. IOC juga menyokong keutamaan pemberian vaksin kepada kumpulan yang terdedah, jururawat, doktor dan semua orang yang menjaga keselamatan masyarakat kita.
“IOC mahu pasukan Olimpik dan Paralimpik diberi vaksin, memandangkan mereka menjadi duta NOC untuk mempromosikan sukan yang selamat sebagai menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan individu serta komuniti,” menurut kenyataan itu.