Lagi tunjuk perasaan ganas bantah perintah berkurung di Belanda

Lagi tunjuk perasaan ganas bantah perintah berkurung di Belanda

Ratusan orang ditahan di seluruh negara akibat rusuhan berterusan sejak Sabtu.

Anggota bomba memadam kebakaran selepas bantahan terhadap perintah berkutung di Rotterdam, Belanda. (Gambar AP)
ROTTERDAM:
Belanda sekali lagi melihat bantahan ganas terhadap langkah baharu untuk mengekang penularan Covid-19, dengan polis di beberapa bandar utama termasuk Amsterdam bertempur dengan penunjuk perasaan.

Bernama memetik Agensi Anadolu melaporkan, ratusan orang berkumpul di bandar-bandar untuk membantah perintah berkurung menyebabkan sekurang-kurangnya 70 ditahan.

Bantahan bermula sejak hujung minggu lalu apabila sekumpulan pemuda yang berang dengan perintah berkurung di Urk membakar pusat ujian virus korona pada malam pertama sekatan dilaksanakan, lewat Sabtu. Ini disusuli lebih bantahan di bandar utama termasuk Amsterdam dengan 240 tangkapan di seluruh negara.

Terbaru, di Rotterdam penunjuk perasaan menyerang polis dengan melemparkan bunga api dan batu serta merosakkan premis perniagaan.

Polis bertindak menggunakan anjing dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Bantahan turut diadakan di Amsterdam, Haarlem, Geleen, Helmond, Zwolle, Amersfoort, Den Bosch dan Tilburg.

Menurut agensi berita Jerman, Deutsche Welles kebanyakan perusuh berusia remaja atau 20-an, malah memetik media tempatan melaporkan bahawa media sosial turut digunakan untuk menggesa lebih banyak protes ganas dilakukan, dalam pada negara itu bergelut mengekang jangkitan baharu virus korona.

Belanda pada 12 Jan melanjutkan sekatan pergerakan sehingga sekurang-kurangnya 10 Feb kerana penularan varian baharu virus Covid-19.

Sekatan pergerakan diperketatkan lagi pada 23 Jan dengan penguatkuasaan perintah berkurung di seluruh negara antara 9 malam dan 4.30 pagi, iaitu kali pertama sejak Perang Dunia II.

Orang ramai dinasihatkan duduk di rumah dan hanya keluar jika perlu seperti membeli barang keperluan, rawatan perubatan, bekerja atau bersekolah jika tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.