Polis Belanda tangkap ketua sindiket dadah Asia

Polis Belanda tangkap ketua sindiket dadah Asia

Lelaki dipercayai penjenayah antara paling dikehendaki di dunia ditahan di lapangan terbang.

AMSTERDAM:
Polis Belanda menangkap lelaki dipercayai ketua sindiket dadah besar-besaran di Asia yang disenaraikan sebagai antara orang paling dikehendaki di dunia malah pernah disamakan dengan raja dadah Mexico Joaquin “El Chapo” Guzman.

Tse Chi Lop, rakyat Kanada kelahiran China, ditahan pada Jumaat atas permintaan polis Australia yang mengetuai siasatan yang mendapati organisasi pimpinannya mendominasi perdagangan dadah bernilai $70 bilion setahun di Asia Pasifik, kata jurucakap polis Belanda Thomas Aling.

Tse dijangka akan diekstradisi, kata Aling, yang menambah penangkapannya oleh polis kebangsaan berlaku tanpa sebarang kekacauan di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam.

“Dia memang dalam senarai orang paling dikehendaki, dan ditangkap berdasarkan risikan diterima kami,” katanya.

Tse, 57, bekas banduan yang sebelum ini tinggal di Toronto, bergerak antara Macau, Hong Kong dan Taiwan sejak beberapa tahun lalu, menurut pegawai antidadah di empat negara serta dokumen yang dilihat Reuters.

Kumpulan itu ‘dikaitkan atau secara langsung terbabit dalam sekurang-kuarngnya 13 kes pengedaran dadah sejak Januari 2015,’ kata dokumen berkenaan.

Jeremy Douglas, wakil Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah Asia Tenggara dan Pasifik memberitahu Reuters pada 2019 bahawa Tse sama seperti El Chapo malah mungkin juga Pablo Escobar, merujuk kepada ketua dadah paling terkenal di Amerika Latin.

Dia juga dikenali sebagai ‘Sam Gor’ atau ‘abang nombor tiga’ dalam bahasa Kantonis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.