
Catatan itu disertakan kenyataan Khamenei pada Disember yang berbunyi “Balas dendam adalah pasti”, mengulangi ikrar untuk menuntut bela menjelang ulang tahun pertama kematian komander tertinggi tentera elit Iran, Qassem Soleimani dalam serangan di Iraq.
“Mereka yang mengarahkan pembunuhan Jeneral Soleimani, serta mereka yang melancarkan serangan itu akan dihukum. Balas dendam ini pasti berlaku pada waktu tepat,” demikian kata Khamenei pada 16 Dis lalu, tanpa menamakan Trump yang mengarahkan serangan itu.
Awal bulan ini, Twitter memadam satu catatan Khamenei yang berkata vaksin buatan AS dan Britain tidak boleh dipercayai serta mungkin berniat untuk “mencemarkan negara lain”. Platform media sosial itu berkata, catatan itu melanggar peraturannya berhubung maklumat salah.
Twitter tidak mengambil tindakan segera terhadap catatan Khamenei berbahasa Parsi itu pada Jumaat.
Hubungan Tehran dan Washington bertukar tegang sejak 2018, apabila Trump keluar daripada perjanjian 2015 antara Iran dan enam kuasa dunia yang cuba menghalang program nuklear Tehran. AS melaksanakan sekatan semula yang melumpuhkan ekonomi Iran.
Iran menggesa tindakan, “bukan sekadar kata-kata”, sejurus selepas Joe Biden mengangkat sumpah sebagai presiden AS pada Rabu lalu.
Biden dilaporkan berkata, Washington akan menyertai perjanjian nuklear itu semula, jika Iran kembali mematuhi sepenuhnya perjanjian itu.