32 maut serangan bunuh diri di Baghdad

32 maut serangan bunuh diri di Baghdad

Serangan besar pertama dalam tiga tahun sasar pasar yang sesak di Baghdad

Keadaan di pasar menjual pakaian di Dataran Tayaran selepas serangan bunuh diri pada Khamis. (Gambar AP)
BAGHDAD:
Dua pengebom bunuh diri menyerang sebuah pasar yang sesak di Baghdad hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dalam serangan besar pertama di negara itu sejak tiga tahun lalu yang dikhuatiri petanda kemunculan semula IS.

Wartawan Reuters yang tiba di situ selepas kejadian itu melihat darah dan kasut di merata-rata di pasar menjual pakaian di Dataran Tayaran. Pihak berkuasa kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 110 orang cedera.

“Seorang (pengebom) datang, rebah dan mengadu ‘perut saya sakit’ sebelum menekan peledak di tangannya yang terus meletup.

“Orang ramai berkecai,” kata seorang peniaga yang enggan dinamakan.

Serangan bom bunuh diri yang pernah berlaku hampir setiap hari di ibu negara Iraq itu, berkurangan sejak IS ditumpaskan pada 2017 seterusnya membawa kembali kehidupan lebih normal untuk penduduk Baghdad.

“Kumpulan pengganas IS mungkin di sebalik serangan ini,” kata ketua pertahanan awam Kadhim Salman kepada pemberita.

Video dirakam dari bumbung bangunan dan tular di media sosial mendakwa letupan kedua membunuh orang ramai yang berada berhampiran.

Gambar dikongsikan di internet yang tidak dapat disahkan Reuters juga menunjukkan mayat dan mangsa cedera.

Serangan itu berlaku di pasar sama yang menjadi sasaran serangan besar terakhir di bandar itu pada Jan 2018 yang membunuh sekurang-kurangnya 27 orang.

Perdana Menteri Mustafa al-Kadhimi mengadakan mesyuarat tergempar dengan komander keselamatan kanan untuk membincangkan kejadian itu, kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Pasukan keselamatan juga dikerahkan termasuk membuat sekatan jalan raya bagi menghalang cubaan serangan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.