
Dengan jumlah kematian global kini melebihi dua juta orang dan varian baru virus yang amat membimbangkan, seluruh dunia bergelut dengan cara untuk memperlahankan jangkitan sehingga vaksin boleh didapati secara meluas.
WHO dalam kemaskini mingguannya mengumumkan strain Afrika Selatan, seperti strain UK dipercayai lebih mudah berjangkit, kini dilaporkan di 23 negara dan wilayah.
Katanya, jumlah kematian mencatat rekod baru 93,000 kes dalam tempoh tujuh hari lalu, dengan 4.7 juta kes baru dilaporkan dalam tempoh sama.
Strain UK itu, yang mula dikesan pertengahan Disember lalu, dianggap WHO antara 50% hingga 70% lebih mudah berjangkit berbanding virus asal.
Walaupun lebih mudah merebak, dua varian itu tidak anggap lebih mudah menyebabkan kematian, dengan Pfizer dan rakan Jerman BioNTech berkata, vaksin mereka berkesan terhadap mutasi yang ditemui pada varian UK yang dikenali sebagai B117.
Pelancaran kempen vaksinasi besar-besaran di Amerika Syarikat dan Eropah membawa harapan untuk menamatkan pandemik itu, di mana Kesatuan Eropah pada Selasa berkata, ia menyasarkan untuk memberikan vaksinasi kepada 70% populasi dewasanya sebelum akhir Ogos ini.
Tetapi, banyak negara EU – dan negara lain termasuk India dan Rusia – bergelut melancarkan kempen vaksinasi mereka di lapangan.
AS masih mendahului jumlah kes Covid-19 terbanyak di dunia, dan Presiden, Joe Biden pada upacara angkat sumpah jawatan berkata, beliau tidak akan mengambil sebarang risiko dalam usaha memerangi pandemik itu.
Beberapa hari ini terdapat tumpuan baru pada penularan awal setahun lalu, dengan China mempertahankan cara ia menangani virus itu pada Selasa, selepas pakar bebas mengkritik Beijing lambat bertindak.