
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Isnin menggesa Israel “berhenti dan berundur” daripada keputusan membina 800 rumah baru untuk penempatan Yahudi di Tebing Barat.
Beliau dalam kenyataan berkata, keputusan itu ialah “halangan besar untuk mencapai penyelesaian dua negara, serta perdamaian adil, berkekalan dan menyeluruh” di Timur Tengah.
“Pembinaan penempatan oleh Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis Timur, tidak sah dan dianggap pelanggaran terang-terangan di bawah undang-undang antarabangsa.
“Perluasan penempatan…terus menghakis kemungkinan untuk mengakhiri pendudukan itu dan penubuhan negara Palestin yang berdaulat serta berdaya maju berdasarkan sempadan pra-1967.”
Ahad lalu, Israel meluluskan pembinaan 780 rumah di Tebing Barat, yang diarahkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu Isnin lalu.
Semua penempatan Yahudi di Tebing Barat dianggap haram oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa.
Kini, terdapat kira-kira 450,000 orang Yahudi di Tebing Barat, yang turut didiami kira-kira 2.8 juta penduduk Palestin.