Covid-19: Wanita Malaysia antara kes baharu dalam komuniti di Singapura

Covid-19: Wanita Malaysia antara kes baharu dalam komuniti di Singapura

Warga emas itu merupakan pemegang pas lawatan jangka panjang dan tinggal di negara berkenaan sejak Januari tahun lalu.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata wanita berkenaan didapati mengalami gejala jangkitan pernafasan akut (ARI) dan cirit-birit pada 9 Jan lalu dan kehilangan rasa pada 14 Jan, namun belum mendapatkan rawatan.
SINGAPURA:
Wanita Malaysia berusia 66 tahun, satu daripada dua kes jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan oleh Singapura pada Isnin.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, warga emas yang juga pesara itu adalah pemegang pas lawatan jangka panjang dan tinggal di negara berkenaan sejak Januari tahun lalu.

Dilabelkan sebagai kes 59,395, wanita berkenaan adalah ahli keluarga kepada kes 59,365, iaitu seorang lelaki Singapura berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pegawai pentadbiran di Pasukan Polis Singapura, 2 Mowbray Road.

Lelaki berkenaan disahkan positif Covid-19 pada 16 Jan.

MOH memaklumkan wanita berkenaan didapati mengalami gejala jangkitan pernafasan akut (ARI) dan cirit-birit pada 9 Jan lepas dan kehilangan rasa pada 14 Jan, namun belum mendapatkan rawatan.

Selepas dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes 59,365, wanita terbabit telah dihubungi oleh MOH pada 16 Jan dan menjalani ujian Covid-19 apabila menunjukkan mempunyai gejala.

Sementara itu, seorang lagi warga Malaysia, lelaki berusia 30 tahun adalah antara 12 kes import dilaporkan pada Isnin.

Lelaki berkenaan adalah pemegang permit kerja tiba dari Malaysia didapati tidak bergejala dan dilabel sebagai kes 59,390, menurut MOH.

Setakat tengah hari, Singapura melaporkan 14 kes baharu membabitkan 12 kes import dan dua jangkitan tempatan menjadikan jumlah terkumpul kes Covid-19 di republik itu sebanyak 59,127.

Tiada kes membabitkan asrama pekerja asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.