
WASHINGTON: Dewan Perwakilan AS yang dikuasai Demokrat meluluskan resolusi mendesak Naib Presiden Mike Pence menggunakan Seksyen 4 Perkara 25 Perlembagaan AS, untuk menyingkir Presiden Donald Trump kerana pembabitannya dalam rusuhan di Capitol, meskipun Pence memberi amaran langkah itu akan menjadi duluan terburuk, lapor agensi berita Sputnik.
Dewan Senat pada Selasa meluluskan perkara itu dengan 220 berbalas 205 undi.
Resolusi itu meminta Pence memangku jawatan presiden selepas Trump didapati “gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya”.
Pence, dalam sepucuk surat kepada Speaker Dewan Nancy Pelosi menjelang undian itu, menyatakan langkah itu akan menjadi duluan terburuk dan boleh memecah belahkan negara. Susulan itu, Dewan pada Rabu memutuskan meneruskan usul mendakwa.