Ratu Elizabeth disuntik vaksin Covid-19

Ratu Elizabeth disuntik vaksin Covid-19

Elizabeth dan suami, Putera Philip terima suntikan di Istana Windsor semalam.

(Gambar AP)
LONDON:
Ratu Elizabeth serta suaminya Putera Philip, kedua-duanya berusia 90-an dan dalam kategori diberi keutamaan, disuntik vaksin Covid-19 kata Istana Buckingham semalam.

Sumber diraja memberitahu, Elizabeth dan suaminya yang juga Duke of Edinburgh disuntik oleh seorang doktor di kediaman diraja Istana Windsor, seterusnya mengumumkan perkara itu untuk mengelak sebarang spekulasi.

Elizabeth berusia 94 tahun manakala Philip, 99, meletakkan mereka dalam kategori berisiko dan diberi keutamaan mengikut sistem pemberian vaksin Britain.

Dengan varian virus itu yang lebih mudah berjangkit kini melanda Britain, Perdana Menteri Boris Johnson menutup perniagaan dan mempercepatkan pemberian vaksin dalam usaha mengekang penyebaran pandemik.

Kerajaan merancang memvaksin kira-kira 15 juta orang terdiri daripada golongan berusia, lemah dan pekerja barisan hadapan sebelum pertengahan Februari, untuk meredakan perintah kawalan ketat yang dikuatkuasakan selepas berlaku lonjakan kes harian.

Britain mempunyai jumlah kematian kelima tinggi di dunia akibat Covid-19 iaitu hampir 80,000 orang, dengan 1,325 kematian dilaporkan dalam tempoh 28 hari pengesahan positif jangkitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.