Covid-19: Rakyat Malaysia antara jangkitan komuniti di Singapura

Covid-19: Rakyat Malaysia antara jangkitan komuniti di Singapura

Singapura melaporkan dua jangkitan komuniti Covid-19 pada Khamis.

Semalam Singapura melaporkan 33 kes baharu dengan dua jangkitan dalam komuniti dan 31 kes import, menjadikan jumlah terkumpul kes COVID-19 di republik itu 58,813 kes. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Wanita Malaysia berusia 43 tahun merupakan antara dua kes jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan oleh Singapura pada Khamis.

Menurut Kementerian Kesihatan republik itu, wanita berkenaan bekerja di Azur, Crowne Plaza Changi Airport.

Pada Rabu, Singapura melaporkan satu kes yang diuji positif bagi strain B117 dan beliau bekerja di Azur.

Bagaimanapun menurut kementerian itu, wanita berkenaan bekerja menghantar makanan siap bungkus kepada anak kapal serta penginap di hotel dan tidak berinteraksi dengan pelanggan Azur.

Wanita itu menunjukkan gejala ketika bekerja pada 3 Jan lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik dua hari kemudian, kata kementerian itu dalam kenyataannya malam tadi.

Wanita itu diuji bagi COVID-19 dan pada awalnya didiagnos mengalami jangkitan pernafasan akut (ARI), namun keesokannya keputusan ujian menunjukkan beliau positif COVID-19.

Menurut kementerian itu, siasatan awal juga mendapati wanita tersebut berkemungkinan tidak dijangkiti strain B117.

Sebagai langkah pencegahan, Crowne Plaza Changi Airport akan ditutup selama 14 hari bermula esok (8 Jan).

Setakat tengah hari, Singapura melaporkan 33 kes baharu dengan dua jangkitan dalam komuniti dan 31 kes import, menjadikan jumlah terkumpul kes COVID-19 di republik itu sebanyak 58,813 kes.

Menurut kementerian itu, daripada keseluruhan kes baharu tersebut, 30 tidak bergejala dan dikesan menerusi saringan dan pemantauan oleh kementerian, sementara tiga kes lagi bergejala.

Selain itu, sebanyak tiga kluster dilaporkan dengan satu mempunyai kaitan dengan NewOcean 6, kapal tangki bunker yang dioperasikan oleh Palmstone Tankers & Trdg Lte Ltd di Pelabuhan Singapura.

Republik itu sebelum ini melaporkan kluster terakhirnya yang membabitkan sebuah asrama pekerja asing tamat pada 24 Nov lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.