China longgar akses pelaburan asing berkuat kuasa 1 Feb

China longgar akses pelaburan asing berkuat kuasa 1 Feb

Pada 31 Dis China mengurangkan senarai negatif bagi akses pelaburan asing di pelabuhan bebas Hainan.

Pengurangan syarat bagi akses pelaburan asing di zon perdagangan perintis Hainan bertujuan meningkatkan tahap keterbukaan di pelabuhan perdagangan bebas itu. (AFP pic)
BEIJING:
Pada 31 Dis lalu, China mengumumkan senarai negatif (Edisi 2020) bagi akses pelaburan asing di pelabuhan perdagangan bebas Hainan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb 2021.

Menurut senarai dikeluarkan bersama oleh Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC) dan Kementerian Perdagangan China itu, bilangan item yang terkandung dalam senarai Edisi 2020 kali ini dikurangkan kepada 27 berbanding 30 sebelum ini.

Pengurangan syarat bagi akses pelaburan asing di Zon Perdagangan Perintis Hainan itu bertujuan meningkatkan tahap keterbukaan di pelabuhan perdagangan bebas itu .

Ia juga menunjukkan bahawa negara itu akan menyediakan suasana lebih terbuka dalam sektor utama seperti telekomunikasi dan pendidikan, perkhidmatan perniagaan melibatkan kaunseling dan kaji selidik, di samping memudahkan akses pasaran dalam bidang industri pembuatan serta perlombongan.

Sementara itu, pegawai NDRC berkata, pihaknya akan terus mengurangkan bilangan item dalam senarai negatif itu pada masa depan bagi meningkatkan liberalisasi dan pemudahan pelaburan di Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.