
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, perhimpunan awam dilarang di kawasan yang dikawal ketat, yang merekodkan lebih daripada 50 kes dan kawasan terkawal yang mencatatkan lebih daripada 10 kes.
Beliau berkata, mengikut perkembangan terbaharu, wabak itu merebak ke 48 daripada 77 wilayah di negara itu.
“Lonjakan jumlah kes harian COVID-19 kini agak membimbangkan. Kami tidak mahu melihat pelaksanaan perintah berkurung lagi,” katanya pada sidang media semalam.
Ketika ini, beberapa kawasan dilaksanakan perintah sekatan bersasar, termasuk di pusat pelancongan Pattaya dan Hua Hin.
Thaweesilp berkata, gabenor wilayah juga diberi kuasa melarang penganjuran apa-apa acara dan aktiviti yang boleh menimbulkan risiko penyebaran COVID-19.
Sementara itu, pihak berkuasa juga meminta orang ramai mengelak daripada melakukan perjalanan tidak penting bagi menghalang penyebaran wabak itu.
Sejak tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 250 kes baharu COVID-19 melibatkan 241 penularan tempatan, 29 daripadanya pernah mengunjungi pusat hiburan, sembilan dikaitkan dengan kluster pasar udang Samut Sakhon, tiga daripada kluster Rayong dan dua pekerja asing.
Sumber jangkitan bagi sejumlah 198 kes itu masih dalam siasatan, dengan 108 kes dilaporkan di wilayah Chonburi dan 53 di wilayah Rayong.
Setakat ini, Thailand mencatatkan 6,690 kes COVID-19 dengan 61 kematian.