
Sarah Lim, jururawat kanan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan, antara 30 kakitangan pertama di pusat itu yang disuntik vaksin, hari ini.
Mereka akan datang sekali lagi untuk dos kedua pada 20 Jan.
“Saya bersyukur dan berterima kasih menjadi orang pertama diberi vaksin di Singapura,” kata Lim, yang bertugas menyaring pesakit disyaki kes COVID-19.
Beliau berharap dapat menggalakkan orang lain menerima vaksin berkenaan.
Singapura negara Asia pertama meluluskan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech itu.
Negara itu turut menandatangani perjanjian pembelian lanjutan, selain membuat bayaran pendahuluan untuk beberapa vaksin termasuk yang dihasilkan Moderna and Sinovac.
Singapura menjangka mempunyai dos mencukupi untuk semua 5.7 juta penduduknya menjelang suku ketiga 2021.
Bagi membuktikan vaksin itu selamat, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, 68, berkata, beliau dan rakan sekerjanya akan menjadi antara kumpulan pertama menerima suntikan.
Suntikan itu percuma dan atas dasar suka rela, tetapi kerajaan menggalakkan semua penduduknya yang layak dari segi perubatan supaya mengambilnya.
China sedang menyuntik kumpulan tertentu penduduk yang dianggap berisiko tinggi terhadap jangkitan, seperti kakitangan kesihatan dan pegawai sempadan, di bawah program kecemasan yang dimulakan pada Julai.
Vaksinnya masih di peringkat percubaan klinikal peringkat akhir.
Di Jepun dan Korea Selatan, tentera AS sudah memulakan suntikan vaksin COVID-19 dengan keutamaan diberikan kepada anggota perubatan barisan hadapan.
Beberapa askar dan menteri di Filipina juga sudah menerima suntikan COVID-19 walaupun kelulusan penuh belum diberikan badan kawal selia.