Covid-19 sampai ke hujung dunia

Covid-19 sampai ke hujung dunia

Virus korona landa Antartika, kakitangan stesen penyelidikan terpencil dikuarantin.

Virus korona landa Antartika, kakitangan stesen penyelidikan terpencil dikuarantin. (Gambar fail)
SANTIAGO:
Virus korona kini melanda Antartika, benua terakhir yang sebelum ini bebas Covid-19, kata tentera Chile minggu ini dalam pada pihak berkuasa kesihatan dan tentera bergegas mengeluarkan kakitangannya untuk dikuarantin dari stesen penyelidikan terpencil di tengah lautan dan aisberg.

Pasukan tentera Chile berkata sekurang-kurangnya 36 orang dijangkiti di pangkalan Bernardo O’Higgins, termasuk 26 anggota tentera dan 10 kontraktor awam yang melakukan kerja penyelenggaraan di situ.

Stesen dikendalikan tentera Chile itu mempunyai kakitangan tetap yang dan terletak berhampiran penghujung semenanjung di bahagian paling utara Antartika.

Kakitangan pangkalan itu “sudah diasingkan dan dipantau secara berterusan” oleh pihak berkuasa di Magallanes, Patagonia, Chile, kata tentera yang turut menambah tiada komplikasi setakat ini.

Stesen penyelidikan serta tentera di Antartika – antara yang paling terpencil di dunia – melakukan pelbagai usaha untuk memastikan virus itu tidak tersebar ke situ, termasuk membatalkan pelancongan, mengurangkan aktiviti serta kakitangan, selain menutup kemudahan.

Penyelidik British Antarctic Survey menjangkakan sekitar 1,000 orang di 38 stesen di seluruh benua beku itu berjaya melalui musim sejuk di hemisfera itu tanpa sebarang masalah.

Namun peningkatan perjalanan ke rantau itu pada musim bunga dan awal musim panas meningkatkan risiko jangkitan.

Seorang pegawai media tentera berkata, kes Covid-19 pertama dilaporkan pada pertengahan Disember selepas dua askar jatuh sakit.

Rantau Magallanes, salah satu wilayah yang paling tinggi berpenduduk yang berhampiran Antartika, selain lokasi bertolak untuk bot serta pesawat ke benua itu, antara yang paling teruk terkesan dengan wabak di Chile dengan kebanyakan kawasannya dikenakan sekatan kuarantin sejak beberapa bulan lalu.

Tentera laut Chile melaporkan turut mengenal pasti tiga kes Covid-19 dalam kalangan 208 anak kapal yang belayar memasuki wilayah Antartika pada 27 Nov dan 10 Dis lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.