AS nasihat rakyat elak dos kedua jika alergi pada vaksin

AS nasihat rakyat elak dos kedua jika alergi pada vaksin

CDC berkata, sesiapa yang mempunyai alergi teruk terhadap vaksin Covid-19, iaitu memerlukan ubat epinefrin atau rawatan di hospital, tidak patut mendapatkan dos kedua.

Pengawal selia perubatan Britain sebelum ini berkata, mereka yang mempunyai sejarah anafilaksis atau reaksi alahan teruk kepada ubat atau makanan, tidak patut diberikan vaksin Pfizer-BioNTech (Gambar AFP)
WASHINGTON:
Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat pada Sabtu berkata, ia sedang memantau laporan reaksi alergi terhadap vaksin COVID-19 dan mencadangkan apa yang perlu dilakukan individu dengan sejarah alahan.

Katanya, sesiapa saja yang mempunyai alergi teruk terhadap vaksin COVID-19 tidak patut mendapatkan dos kedua, di mana definisi teruk ialah memerlukan ubat epinefrin atau rawatan di hospital.

Dua vaksin diluluskan di AS di bawah kebenaran penggunaan kecemasan.

Individu dengan sejarah alergi teruk kepada vaksin perlu mendapatkan nasihat doktor mengenai suntikan COVID-19.

CDC berkata, mereka yang mempunyai alahan teruk kepada makanan, haiwan peliharaan, lateks, keadaan persekitaran atau ubat oral atau sejarah keluarga dengan reaksi alahan teruk masih boleh divaksinkan.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) sedang menyiasat kira-kira lima reaksi alahan yang timbul selepas individu diberikan vaksin COVID-19 Pfizer Inc dan BioNTech SE di AS minggu ini.

Jumaat lalu, FDA berkata, vaksin Moderna Inc yang mendapat kebenaran penggunaan kecemasan, tidak patut diberikan kepada mereka yang mempunyai sejarah alahan teruk terhadap mana-mana komponen dalam suntikan itu,

Pengawal selia perubatan Britain sebelum ini berkata, mereka yang mempunyai sejarah anafilaksis atau reaksi alahan teruk kepada ubat atau makanan, tidak patut diberikan vaksin Pfizer-BioNTech.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.