Saudi benar pesawat Israel lintas ruang udara

Saudi benar pesawat Israel lintas ruang udara

Kebenaran itu beberapa jam sebelum penerbangan komersial Israel yang pertama ke UAE, yang dirancang hari ini.

Penerbangan komersial Israel ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan bermula pada Disember. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Arab Saudi pada Isnin bersetuju membenarkan syarikat penerbangan Israel melintasi ruang udaranya menuju ke Emiriah Arab Bersatu, menyusuli rundingan antara pegawai kerajaan Saudi dan penasihat kanan Rumah Putih, Jared Kushner, menurut seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.

Kushner dan utusan Timur Tengah, Avi Berkowitz dan Brian Hook, membangkitkan isu berkenaan sejurus tiba di Arab Saudi untuk rundingan.

“Kami dapat selesaikan masalah berkenaan,” kata pegawai terbabit kepada Reuters.

Perjanjian itu dimeterai beberapa jam sebelum penerbangan komersial Israel yang pertama ke UAE, yang dirancang hari ini.

Penerbangan Israir berdepan risiko pembatalan tanpa perjanjian lintas ruang udara itu.

Penerbangan langsung itu berkait dengan perjanjian normalisasi antara UAE, Bahrain, dan Sudan dengan Israel yang dicapai tahun ini.

“Ini patut selesaikan sebarang isu yang boleh tercetus berkenaan pesawat Israel berulang-alik mengangkut penumpang dari UAE dan Bahrain,” kata pegawai terbabit.

Kushner dan pasukannya akan bertemu Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman, pada minggu ini, dan emir Kuwait.

Salah satu matlamat pertemuan itu adalah memujuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menamatkan sekatan terhadap Qatar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.