Kes Covid-19 global lepasi 60 juta

Kes Covid-19 global lepasi 60 juta

Amerika Syarikat terus menjadi negara paling teruk dijangkiti, dengan lebih 261,000 kematian dan lebih 12.7 juta kes Covid-19.

Seorang pelajar Universiti Texas sedang mendapatkan ujian swab Covid-19 bulan lalu. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia melepasi angka 60 juta pada Rabu, lapor Agensi Anadolu menurut Johns Hopkins University.

Universiti yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) itu telah merekodkan 60,186,902 jangkitan dan 1,417,319 kematian sejak virus itu pertama kali dilaporkan di bandar Wuhan, China pada Disember.

AS terus menjadi negara paling teruk dijangkiti, dengan lebih 261,000 kematian dan lebih 12.7 juta kes, diikuti India (9.2 juta kes), Brazil (6.1 juta kes) dan Perancis (2.2 juta kes).

Sejumlah 38.4 juta orang di seluruh dunia dilaporkan sembuh.

Lebih 100 vaksin Covid-19 yang dibangunkan kini berada pada tahap perkembangan yang berbeza. Pengeluar ubat AS, Pfizer dan syarikat bioteknologi Jerman BioNTech minggu lalu mengatakan vaksin Covid-19 mereka 95% berkesan, berbanding anggaran sebelum ini iaitu 90%.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas sebuah lagi syarikat ubat AS, Moderna mengatakan vaksin mereka 94.5% berkesan.

Melihat kepada perkembangan semasa, harapan untuk vaksin Covid-19 semakin cerah, kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.

“Kini harapan semakin nyata vaksin, bersama dengan langkah-langkah kesihatan awam yang telah dicuba dan diuji, akan membantu mengakhiri pandemik,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.