Dalang pemerdagangan seks Korea Selatan dijatuhi hukuman penjara 40 tahun

Dalang pemerdagangan seks Korea Selatan dijatuhi hukuman penjara 40 tahun

Tertuduh dikatakan mengaut keuntungan dengan menghasilkan dan menjual video penderaan seksual kepada sebuah laman sembang dalam talian.

Cho Ju-bin (tengah) didapati bersalah melanggar undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dan remaja bawah umur daripada penderaan seksual. (Gambar AP)
SEOUL:
Sebuah mahkamah di Seoul pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun kepada dalang satu daripada sindiket pemerdagangan seks terbesar di Korea Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Mahkamah Pusat Daerah Seoul mendapati Cho Ju-bin bersalah melanggar undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dan remaja bawah umur daripada penderaan seksual dan mengendalikan rangkaian jenayah untuk mengaut keuntungan dengan menghasilkan dan menjual video penderaan tersebut.

“Tertuduh telah menyebarkan secara meluas isi kandungan video yang dihasilkannya dengan memikat dan mengancam ramai mangsa,” kata mahkamah.

Awal tahun ini, tertuduh dikenakan 14 tuduhan jenayah. Cho, 25, dituduh melakukan jenayah itu dari Mei hingga Februari tahun lalu.

Tertuduh dan rakan subahatnya memeras ugut 74 wanita, termasuk 16 kanak-kanak dan remaja bawah umur, untuk merakamkan kandungan penderaan seksual dan menjualnya kepada anggota Baksabang, sebuah laman sembang dalam talian di Telegram.

Seorang mangsa mengatakan, Cho dan rakan subahatnya sangat kejam dan wajar dipenjara selama 2,000 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.