Thailand dikritik akan dakwa lebih ramai pemimpin protes hina raja

Thailand dikritik akan dakwa lebih ramai pemimpin protes hina raja

Seramai 15 pemimpin protes sudah dipanggil untuk dimaklumkan mengenai pertuduhan derhaka atas komen yang dibuat ketika protes pada September dan Oktober lalu.

Seorang penunjuk perasaan pro-demokrasi memakai pelitup muka dan topi keledar ketika menyertai protes di Bangkok minggu lalu. (Gambar AP)
BANGKOK:
Thailand berdepan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia antarabangsa pada Rabu kerana membuat pendakwaan terhadap pemimpin protes yang mencabar Raja Maha Vajiralongkorn dan kerajaan.

Seorang sumber polis berkata, 15 pemimpin protes sudah dipanggil untuk dimaklumkan mengenai pertuduhan derhaka atau “lese majeste” atas komen yang dibuat ketika protes pada September dan Oktober lalu, di mana mereka bercakap mengenai tingkah laku, gaya hidup dan perbelanjaan raja.

“Tiada orang patut ditahan atau dipenjarakan hanya kerana mengkritik penjawat awam atau sistem kerajaan,” kata peguam hak asasi manusia, Amal Clooney dalam kenyataan dari Yayasan Keadilan Clooney.

Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Paris berkata, “lese majeste tidak boleh digunakan untuk menjadikan pemimpin dan peserta protes pro-demokrasi sebagai penjenayah”.

Dalam respons terhadap kritikan itu, jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek berkata: “Kerajaan bersikap terbuka terhadap hak dan kebebasan, walaupun banyak kenyataan kurang bijak yang menyinggung perasaan majoriti. Kerajaan perlu menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya.

Undang-undang menghina kerabat diraja tidak digunakan sejak 2018 dan Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha pada Jun lalu berkata, mereka tidak menggunakannya atas permintaan raja.

Sejak Julai lalu, penunjuk perasaan menggesa penyingkiran Prayuth, bekas pemimpin junta. Mereka turut menuntut perlembagaan baru dan mengekang kuasa raja.

Pemimpin protes itu dipanggil menjelang satu demonstrasi dirancang pada Rabu untuk menggesa raja melepaskan kuasa peribadi ke atas kekayaan istana bernilai puluhan bilion dolar.

Penunjuk perasaan mengubah lokasi demonstrasi pada saat akhir daripada Biro Harta Mahkota, yang menguruskan aset diraja.

Polis mengadakan sekatan jalan di sana dengan meletakkan kontena dan kawat duri – memburukkan kesesakan trafik di Bangkok pada waktu puncak.

Protes itu akan diadakan di ibu pejabat Bank Komersial Siam, di mana raja ialah pemegang saham terbesar dengan lebih 23% kepentingan.

“Memindahkan harta mahkota kepada harta raja sama dengan merompak kekayaan negara,” kata kumpulan protes FreeYouth, merujuk pindaan undang-undang pada 2017 yang memberi raja kuasa ke atas Biro Harta Mahkota.

Butiran asetnya tidak didedahkan, tetapi mereka menganggarkan ia bernilai lebih AS$30 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.