Lonjakan kes Covid-19 paksa HK, Singapura tunda gelembung perjalanan

Lonjakan kes Covid-19 paksa HK, Singapura tunda gelembung perjalanan

Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung berkata, mereka akan mengkaji semula tarikh pelancaran baru itu dalam tempoh 2 minggu.

Hong Kong melaporkan 26 kes baru semalam, dengan 21 daripadanya kes penularan tempatan, yang menjadikan keseluruhan 5,517 kes positif setakat ini. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Pelancaran gelembung perjalanan udara (ATB) antara Singapura dan Hong Kong yang dijadualkan esok ditunda 2 minggu lagi, menurut Menteri Pengangkutan republik itu, Ong Ye Kung.

“Memandangkan keadaan di Hong Kong yang menunjukkan peningkatan (kes), Setiausaha (Pembangunan Ekonomi dan Perdagangan), Edward Yau dan saya telah mengadakan perbincangan lanjut tengah hari tadi dan membuat keputusan lebih baik menangguhkan pelancaran ATB selama 2 minggu.

“Kami akan mengkaji semula dalam tempoh 2 minggu untuk tarikh pelancaran baru dan akan memaklumkan kemudian,” kata Ong dalam Facebooknya hari ini.

Semalam, Hong Kong melaporkan 26 kes baru, iaitu 21 kes tempatan yang menjadikan keseluruhan kes positif meningkat kepada 5,517 kes dengan 108 kematian.

“Saya dapat memahami kekecewaan pengembara yang telah merancang perjalanan mereka. Tetapi, kami fikir lebih baik ditangguhkan dari sudut kesihatan awam.”

Ong berkata, syarikat penerbangan akan menghubungi pelanggan mereka secara individu.

“Ini adalah peringatan serius yang virus Covid-19 masih ada dan walaupun kita berjuang mendapatkan kembali kehidupan normal kita, perjalanan itu sudah pasti akan menghadapi cabaran, ada pasang surutnya. Tetapi, kita akan terus usahakan dan nantikan bila kita boleh melancarkan ATB dengan selamat.”

Pagi tadi, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura mengumumkan ATB akan dilancarkan seperti jadual, dengan penumpang yang tiba akan menjalani ujian sebagai langkah berjaga-jaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.