
Memetik laporan France24, portal TheNewArab menyebut bahawa Macron mengadakan perbincangan dengan beberapa wakil orang Islam pada Rabu dan meminta mereka menyediakan piagam yang mesti dipatuhi oleh Majlis Islam Perancis.
Macron berkata, piagam itu hendaklah mengandungi pengesahan berhubung “nilai-nilai Perancis”, penegasan bahawa Islam di negara itu adalah sebuah agama, bukannya gerakan politik, selain menamatkan campur tangan atau hubungan dengan negara asing.
Pertemuan itu melibatkan perbincangan mengenai pembentukan sebuah majlis imam kebangsaan yang bertanggungjawab ke atas pemberian kelulusan kepada pendakwah.
Pengerusi Majlis Islam Perancis (CFCM) Mohamed Mousavi dan imam Masjid Paris, Shams El Din Hafez menghadiri pertemuan itu, selain wakil daripada 9 persekutuan yang membentuk majlis berkenaan.
CFCM merupakan badan kebangsaan yang dilantik yang berperanan sebagai orang tengah rasmi dengan kerajaan Perancis dalam urusan penagturan dan penyeliaan aktiviti keagamaan melibatkan Islam.
Macron memberitahu hadirin bahawa mereka perlu “keluar daripada kekeliruan” yang berlaku dengan berkata, pendirian sebahagian hadirin berhubung beberapa isu tidak jelas.
Beliau memberi amaran bahawa “jika ada pihak yang tidak menandatantangani piagam ini, maka kita akan membuat kesimpulan”, selain berkata, beliau “mengambil perhatian berhubung cadangan mereka”.
Majlis imam yang baru bukan sahaja bertanggungjawab mengeluarkan permit, tetapi mempunyai kuasa untuk membatalkan permit berkenaan sekiranya mereka melanggar “Piagam Nilai Republik” yang perlu disediakan.
Bergantung kepada peranan imam, mereka perlu fasih berbahasa Perancis ke tahap tertentu dan memliki kelayakan ijazah universiti.
Macron berharap penubuhan majlis imam kebangsaan itu akan menamatkan kehadiran 300 imam asing dari Turki, Maghribi dan Algeria dalam tempoh 4 tahun.
Pembunuhan kejam seorang guru Samuel Paty bulan lalu selepas beliau menunjukkan karikatur Nabi Muhammad kepada pelajarnya, menyemarakkan semula perbahasan mengenai Islam di Perancis.
Macron mempertahankan sekularisme tegar ala Perancis dan penerbitan semula karikatur Nabi Muhammad, sekali gus mengundang respons keras daripada orang Islam di seluruh dunia.
Beliau didakwa menganiaya orang Islam di Perancis dengan pihak berkuasa menyasarkan NGO Islam di negara itu di bawah undang-undang “pemisah” baru.
Sesetengah pihak menyifatkan langkah itu bertentangan dengan hak awam.
Sebelum insiden pembunuhan guru itu lagi, Macron berjanji untuk melancarkan kempen terhadap “Islamisme” yang menimbulkan kontroversi dan protes daripada orang Islam di seluruh dunia.