
Dalam temu bual dengan agensi berita Jerman, DPA, Adel al-Jubeir berkata senjata nuklear “sudah pasti suatu pilihan”, dan menambah negara lain juga akan mengikuti jejak Iran jika ia memiliki senjata pemusnah itu.
“Arab Saudi secara jelas menyatakan kami akan melakukan apa sahaja untuk melindungi rakyat dan wilayah kami,” kata Jubeir.
Temubual diadakan baru-baru ini menurut laporan itu tetapi tidak dinyatakan tarikh.
Iran bergerak ke arah senjata nuklear sejak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 2018 menarik Washington keluar daripada perjanjian nuklear dengan Tehran, yang dimeterai pada 2015, dan mengenakan sekatan ke atas negara itu.
Tehran pada Selasa dilapor berkata ia bersedia kembali ke rundingan nuklear jika presiden menanti, Joe Biden, menarik balik sekatan ke atas Iran.
Biden merupakan naib presiden dalam pentadbiran Barack Obama ketika AS menandatangani perjanjian dengan Iran.
Biden semasa kempen pemilihan presiden membidas keputusan Trump menarik AS keluar daripada perjanjian itu, mengatakan ia hanya membolehkan Iran bergerak ke arah memiliki senjata nuklear.
Beliau berikrar akan merundingkan suatu perjanjian yang lebih kuat.