Laporan kata askar Australia bunuh 39 orang awam Afghan, tahanan

Laporan kata askar Australia bunuh 39 orang awam Afghan, tahanan

Antara dilaporkan adalah pembunuhan kanak-kanak berusia 6 tahun semasa serbuan, dan seorang tahanan untuk jimat ruang.

Ketua Angkatan Pertahanan, Angus Campbell, berkata terdapat peronda bertindak sesuka hati, peraturan tidak dipatuhi, cerita rekaan, pembohongan, dan tahanan dibunuh. (AP pic)
PETALING JAYA:
Pegawai tinggi tentera Australia mengaku terdapat bukti anggota pasukan khas Australia membunuh sekurang-kurangnya 39 warga Afghanistan dan tahanan secara salah, lapor akhbar The New Arab, memetik bebeapa agensi.

Mencadangkan pendakwa raya mengambil kes ini untuk siasatan atas dakwaan jenayah perang, Ketua Angkatan Pertahanan, Angus Campbell, membuat pengakuan itu selepas siasatan ke atas kelakuan askar Australia di sana.

“Terdapat peronda bertindak sesuka hati, peraturan tidak dipatuhi, cerita rekaan, pembohongan, dan tahanan dibunuh,” katanya.

Antara dilaporkan askar membunuh seorang kanak-kanak berumur 6 tahun semasa serbuan di rumah, dan seorang banduan ditembak mati supaya dapat menjimatkan ruang dalam helikopter.

Campbell “secara ikhlas dan sepenuhnya” meminta maaf kepada rakyat Afghanistan, dan berkata 25 anggota pasukan khas tentera Australia yang dituduh melakukan salah laku dalam 23 kejadian itu mencemar rejiman mereka dan tentera Australia.

Campbell juga mahu supaya beberapa pingat perkhidmatan cemerlang yang dianugerah kepada pasukan operasi khas yang berkhidmat di Afghanistan dari 2007 hingga 2013 dibatalkan.

Susulan serangan keganasan 11 September, lebih 26,000 askar Australia dihantar ke Afghanistan untuk melawan Taliban, Al-Qaeda, dan kumpulan Islamis lain, bersama tentera Amerika Syarikat dan rakannya.

Pasukan Australia meninggalkan negara itu pada 2013 tetapi sejak itu beberapa seri dakwaan kelakuan kejam dilontarkan kepada unit pasukan khas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.