Jabatan Kesihatan AS enggan kerjasama dengan Biden

Jabatan Kesihatan AS enggan kerjasama dengan Biden

Setiausaha Jabatan Kesihatan Alex Azar berkata, jabatan itu hanya akan memberikan kerjasama setelah kemenangan Joe Biden disahkan.

Donald Trump belum mengaku kalah, walaupun kebanyakan media utama AS, termasuk Fox News, melaporkan Joe Biden menang pilihan raya presiden negara itu baru-baru ini.
MOSCOW:
Jabatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika Syarikat (AS) enggan bekerjasama dengan bakal presiden Joe Biden sehingga pentadbiran perkhidmatan awam (GSA) mengesahkan kemenangan calon Demokrat itu dalam pilihan raya presiden 2020, lapor agensi berita Sputnik.

“Sebaik GSA membuat keputusan, kami akan pastikan kerjasama yang profesional akan dibuat,” kata setiausaha Jabatan Kesihatan Alex Azar pada taklimat media, Rabu.

Katanya, jabatan itu hanya mengikut panduan sedia ada.

“Buat masa ini kami sedang berusaha untuk mendapatkan vaksin yang sedang dibangunkan dan mendapatkan data percubaan klinikal serta menyelamatkan nyawa.

“Itu yang menjadi tumpuan utama kami sekarang,” tambah beliau.

Ketua GSA Emily Murphy dilaporkan belum menandatangani dokumen yang diperlukan untuk membolehkan permulaan tempoh peralihan dibuat secara rasmi.

Justeru, pasukan Biden tidak boleh mengakses kewangan kerajaan dan bekerjasama dengan badan persekutuan.

Presiden Donald Trump belum mengaku kalah, walaupun kebanyakan media utama di AS, termasuk Fox News, melaporkan Biden sebagai pemenang.

Trump mendakwa banyak berlaku penipuan pada pilihan raya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.