
Al Jazeera melaporkan umat Islam dalam parti itu menjadi sasaran stereotaip “geng antun”, didakwa merancang “pengambilalihan terancang”, digelar “pengganas” dan “pendatang asing” serta dijangka mengutuk keganasan yang tidak dilakukan mereka.
Labour Muslim Network, kumpulan terbesar ahli serta penyokong Buruh beragama Islam, melakukan tinjauan pada Julai dan Ogos lalu dengan menemu ramah 676 ahli dan pegawai Islam terpilih.
“Terdapat arus tersembunyi Islamofobia dalam Parti Buruh yang berpunca daripada kejahilan dan perkauman sistemik, yang mungkin tidak ketara, tetapi ia wujud,” kata seorang responden wanita.
Hampir 44% responden berkata, Parti Buruh tidak mengambil serius Islamofobia, manakala 55% lagi tidak percaya parti itu dapat menangani sentimen anti-Islam.
“Kita perlu mengambil tindakan segera untuk menangani Islamofobia dalam kalangan kita,” kata Ahli Parlimen Buruh, Afzal Khan dalam prakata laporan berkenaan.
“Meskipun Parti Buruh mendapat sokongan luar biasa masyarakat Islam selama berdekad, kita tidak boleh mengambil mudah sokongan mereka.”
Antara isu membimbangkan responden termasuk keputusan dasar luar berkaitan “perang terhadap keganasan” 2001, perubahan dasar berkaitan Kashmir pada awal tahun ini; penjajahan Palestin dan hubungan Parti Buruh dengan program Pencegahan kerajaan untuk memerangi “ekstremisme”.
Parti Buruh yang berhaluan kiri pernah berbangga dengan pendirian anti-perkaumannya.
Pada Pilihan Raya Umum 2017, dianggarkan 85% umat Islam menyokong Parti Buruh berbanding 11% yang mengundi Parti Konservatif.