Bangladesh tubuh sekolah pertama transgender Muslim

Bangladesh tubuh sekolah pertama transgender Muslim

Ia disifatkan ulama sebagai langkah pertama dalam menyatukan golongan minoriti yang didiskriminasi itu.

Komuniti transgender Bangladesh sedang bersiap sedia dalam satu majlis bacaan al-Quran di Dawatul Islam Tritio Linger Madrasa di Dhaka. (Gambar AFP)
DHAKA:
Bangladesh membuka sekolah agama pertama untuk komuniti transgender Muslim pada Jumaat, lapor AFP.

Ulama menyifatkannya sebagai langkah pertama menyatukan golongan minoriti yang didiskriminasi itu.

Pusat madrasah itu salah satu siri gerakan di negara yang mempunyai majoriti 1.5 juta golongan transgender yang menganut agama Islam, dalam usaha memudahkan kehidupan mereka.

Komuniti LGBT berdepan diskriminasi meluas di negara Asia Selatan, di mana undang-undang era kolonial masih mengenakan hukuman penjara terhadap mereka yang berkelakuan homoseksual walaupun penguatkuasaan itu dilihat jarang berlaku.

Namun, kira-kira 50 pelajar transgender membaca ayat suci al-Quran bagi menandakan pembukaan Dawatul Islam Tritio Linger Madrasa, atau Sekolah Agama Jantina Ke-3, di pinggir ibu kota negara itu.

“Saya gembira,” kata Shakila Akhter, seorang pelajar berusia 33 tahun, kepada AFP.

“Kami berterima kasih kepada ulama untuk gerakan yang baik ini.”

Difahamkan, Akhter dilahirkan sebagai perempuan yang bercita-cita menjadi doktor atau peguam, namun cita-citanya terkubur apabila terpaksa meninggalkan rumah ketika usia kanak-kanak kerana mahu menyertai komuniti transgender.

“Kami beragama Islam, namun kami tidak boleh pergi ke masjid,” kata Akhter.

“Kita malah tidak boleh bergaul dengan masyarakat yang lain.”

Sekumpulan ulama yang dipimpin oleh Abdur Rahman Azad mengubah suai tingkat atas sebuah bangunan 3 tingkat menjadi sekolah dengan dana daripada badan kebajikan tempatan.

Kumpulan Azad sudah menyediakan kelas mengajar al-Quran kepada 7 kumpulan transgender di Dhaka dan berkata madrasah itu dimajukan untuk mereka yang memerlukan pusat komuniti kekal.

Kira-kira 150 pelajar – hampir semua dewasa – akan menggunakan silibus sama diguna pakai di madrasah tradisional, di mana al-Quran diajar bersama falsafah Islam, Bengali, Inggeris, ilmu matematik dan sains sosial.

Azad berkata golongan transgender, yang dikenali sebagai Hijra (penghijrah) di Bangladesh, terlalu banyak berdepan penderitaan.

“Sudah terlalu lama mereka menjalani kehidupan yang menyedihkan. Mereka tidak boleh pergi ke sekolah, madrasah atau masjid. Mereka menjadi mangsa diskriminasi. Kita, masyarakat dan negara perlu dipersalahkan untuk ini,” katanya.

“Kita mahu menamatkan diskriminasi ini. Allah tidak membeza-bezakan antara manusia. Islam melayan setiap orang sebagai manusia. Hijra perlu menikmati semua hak yang sama seperti manusia lain.”

Pada 2015, ekstremis Islam menyerang seorang aktivis homokseksual terkemuka dan seorang penyunting majalah LGBT sehingga mati, sejak itu golongan terbabit melarikan diri dari negara itu.

Namun, langkah ke depan diambil buat masyarakat itu.

Sejak 2012, kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina mengiktiraf golongan transgender sebagai jantina yang lain.

Tahun lalu mereka dibenarkan mendaftar untuk memilih sebagai jantina ke-3, dan jumlah mereka akan dikira dalam bancian bermula tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.