Korban taufan Goni di Filipina kini 16 orang

Korban taufan Goni di Filipina kini 16 orang

Goni atau ‘taufan ganas’ mendarat di Filipina pada subuh Ahad, dengan angin kencang sehingga 225km sejam.

Taufan Goni mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah Bicol di selatan pulau Luzon dan meninggalkan kesan kemusnahan di 12 daripada 17 wilayah di Filipina. (Gambar AP)

MANILA:Jumlah kematian akibat taufan Goni, yang melanda selatan pulau Luzon, di Filipina meningkat kepada 16 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Pejabat Pertahanan Awam (OCD) di Bicol, wilayah paling teruk dilanda taufan di selatan pulau Luzon, pada Isnin berkata, jumlah kematian meningkat kepada 16 orang, manakala 3 lagi masih hilang.

Goni atau “taufan ganas” mendarat pada subuh Ahad, dengan angin kencang maksimum 225km sejam dan kekuatan angin sehingga 310km sejam.

Taufan Goni mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah Bicol dan meninggalkan kesan kemusnahan di 12 daripada 17 wilayah di Filipina.

Pentadbir Pejabat Pertahanan Awam, Ricardo Jalad, dalam taklimat media berkata, lebih 2 juta orang di 12 wilayah terjejas akibat Taufan Goni.

Taufan Goni melanda berhampiran wilayah yang dilanda Taufan Molave awal minggu ini, yang meragut 22 nyawa dan memusnahkan infrastruktur serta tanaman.

Sementara itu, Biro Cuaca negara itu berkata, pihaknya juga sedang mengesan ribut tropika Atsani, yang bergerak sangat pantas dari barat laut ke arah tengah Luzon.

Taufan dan ribut tropika kerap melanda Filipina dari Jun hingga Disember, meragut ratusan nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion dolar.

Terletak di lingkaran api Pasifik, Filipina adalah antara negara yang paling kerap dilanda bencana di dunia, termasuk gunung berapi aktif, gempa bumi, dan rata-rata 20 taufan setahun, menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Filipina kehilangan 463 bilion peso (kira-kira AS$ 9.56 bilion) akibat bencana alam dari 2010 hingga 2019, menurut Lembaga Statistik Filipina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.