Ketua WHO dikuarantin selepas jadi kontak kes Covid-19

Ketua WHO dikuarantin selepas jadi kontak kes Covid-19

Tedros Adhanom Ghebreyesus dikenal pasti sebagai kontak kepada seorang individu yang disahkan positif virus itu.

Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, beliau sihat dan tiada gejala, tetapi akan menjalani kuarantin kendiri dan bekerja dari rumah. (Gambar AP)
ANKARA:
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, beliau masih sihat walaupun dikenal pasti sebagai kontak kepada seorang individu yang disahkan positif Covid-19, lapor Agensi Anadolu.

“Saya dikenal pasti sebagai kontak seseorang yang disahkan positif #COVID19. Saya sihat dan tiada gejala, tetapi akan menjalani kuarantin kendiri untuk beberapa hari akan datang sejajar protokol @WHO dan bekerja dari rumah,” tulisnya di Twitter pada Ahad.

“Sangat penting kita semua mematuhi panduan kesihatan. Ini caranya kita akan memutuskan rantaian jangkitan #COVID19, mengekang virus itu dan melindungi sistem kesihatan.

“Rakan sekerja @WHO dan saya akan terus berhubung dengan rakan kongsi dalam solidariti untuk menyelamatkan nyawa serta melindungi mereka yang berisiko tinggi.”

Virus itu meragut lebih 1.19 juta nyawa di 189 negara dan rantau sejak ia mula dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019.

Amerika Syarikat, India dan Brazil ialah negara paling terjejas ketika ini.

Lebih 46 juta kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia dengan lebih 31 juta pesakit sudah pulih, menurut statistik Universiti Johns Hopkins yang berpangkalan di AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.